‘Kami sempat beraya, minta ampun dengan mangsa’

7 hours ago 7

SUNGAI PETANI – “Kami pergi beraya ke rumah mangsa pada hari pertama. Sempat minta ampun dan maaf.”

Demikian kongsi seorang jiran kepada pasangan suami isteri, Zikri Abdul Rahman, 65, dan Suraya Man, 53, yang ditemukan mati disyaki dibunuh kejam di rumah mereka di Kampung Belau, Merbok di sini semalam.

Turut ditemukan mati ialah anak pasangan terbabit yang berusia 29 tahun.

Menurut jiran itu, ibunya sangat rapat dengan Suraya dan menjadi tempat untuk meluahkan perasaan.

“Saya jiran berhadapan rumah kejadian. Mak sangat rapat dengan mangsa. Teman bersembang pasal pokok bromeliad dan tempat luah perasaan,” katanya.

Dakwanya, anak pasangan terbabit mengalami kemurungan hampir 10 tahun dan dipercayai ‘mengambil nyawanya sendiri’ selepas dikepung polis kira-kira pukul 2 pagi.

“Damailah di sana Pak Ngah Keri, Cik Suraya dan Syakir. Kepada mak, kuatkan semangat kehilangan teman paling baik,” ujarnya.

Jiran itu turut mendakwa, pasangan suami isteri terbabit berkemungkinan dibunuh pada hari raya ketiga iaitu Isnin lalu.

“Mayat digulung dalam tikar dan (pelaku) memasang kemenyan supaya bau tidak merebak. Motosikal disorok di belakang rumah, pintu dikunci mangga dan tingkap ditutup rapat seolah-olah ibu bapanya pergi beraya.

“Raya keempat, ramai menghubungi dan menghantar WhatsApp, namun tidak berbalas. Ramai menyangka mangsa sibuk beraya. Mak juga ada menghantar WhatsApp kepada Cik Suraya, namun mesej tidak ‘delivered’,” jelasnya.

Katanya, pada hari raya kelima, rakan sekerja Suraya datang ke rumah sebelum laporan dibuat selepas timbul rasa tidak sedap hati.

“Kemudian pada pukul 1 pagi, penduduk kampung berkumpul dan memecah masuk rumah sebelum ternampak kesan darah. Syakir dipercayai mengambil nyawanya sendiri kira-kira 30 minit selepas dikepung,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan pasangan itu ditemukan dalam keadaan tragis dengan anggota badan dipotong, manakala mayat anak mereka ditemui di tingkat atas dengan kesan kelar di leher.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |