Kepala suami isteri putus, percikan darah di ruang tamu

12 hours ago 8

SUNGAI PETANI – Mayat pasangan suami isteri yang disyaki dibunuh di dalam sebuah rumah di Kampung Belau, Merbok di sini ditemukan tengah malam tadi dalam keadaan tragis apabila kepala terpisah daripada badan.

Jasad pasangan terbabit, Zikri Abdul Rahman, 65, dan Suraya Man, 53, juga dipercayai dipotong kepada beberapa bahagian sebelum ditutup dengan karpet dan kain di ruang dapur rumah.

GAMBAR kenangan Zikri dan Suraya yang ditemukan mati di sebuah rumah di Kampung Belau di Merbok, Sungai Petani tengah malam tadi.

Kedua-dua mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih dua hari lalu berikutan keadaan mayat yang mereput serta berbau busuk.

Sementara itu, mayat anak lelaki mereka berusia 29 tahun ditemui di tingkat atas rumah dengan kesan kelar yang dalam pada leher dan mangsa dipercayai baru meninggal dunia ketika ditemukan awal pagi tadi.

Pemuda terbabit yang merupakan anak kandung Suraya dan anak tiri Zikri dikatakan mengalami kemurungan dan sebelum ini pernah melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pasangan suami isteri terbabit yang masing-masing bekerja sebagai pekebun dan tukang cuci di sebuah sekolah disedari hilang hampir tiga hari lalu.

Katanya, penduduk kemudian pergi ke rumah berkenaan dan terhidu bau busuk yang sangat kuat sebelum melaporkan perkara itu kepada pihak polis kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

“Sepasukan polis bersama orang kampung terus ke rumah tersebut dan pemeriksaan mendapati rumah itu dalam keadaan gelap serta berkunci, selain bau busuk yang amat kuat.

“Anggota bertindak memecah masuk ke dalam rumah dan menemui mayat pasangan suami isteri di dapur dalam keadaan ditutup dengan karpet dan kain. Turut dikesan percikan darah di ruang tamu rumah yang dipercayai menjadi lokasi pembunuhan,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Merbok, di sini hari ini.

KESAN darah pada kerusi di ruang tamu rumah yang disyaki menjadi lokasi pembunuhan pasangan suami isteri di Kampung Belau di Merbok, Sungai Petani.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemukan satu lagi mayat di tingkat atas rumah dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar yang dalam pada leher.

“Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat.

“Siasatan awal kes ini menjurus kepada perbuatan bunuh, selain terdapat cubaan untuk melupuskan bukti apabila pelaku dipercayai membersihkan lokasi kejadian. Bagaimanapun, kita percaya kes ini telah berjaya diselesaikan kerana pelaku juga sudah meninggal dunia,” ujarnya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pelaku dalam kes berkenaan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, pihaknya turut merampas beberapa senjata tajam termasuk gergaji yang ditemukan di dalam sebuah bekas berhampiran mayat pemuda berkenaan.

Sementara itu, katanya, pemuda yang maut itu dikatakan seorang pelajar pintar dan mengalami masalah kesihatan mental sejak 2018, namun tidak pernah menimbulkan masalah termasuk mengganggu masyarakat setempat.

“Rumah itu hanya dihuni tiga beranak tersebut dan seorang lagi anak mereka, iaitu anak kandung kepada mangsa lelaki (Zikri), pulang beraya sebelum kembali ke Johor pada pukul 8 malam, Isnin lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |