MDB: Bekalan air Lembah Klang cukup untuk sembilan bulan

11 hours ago 9

SHAH ALAM – Bekalan air kepada penduduk Lembah Klang kekal mencukupi sehingga sembilan bulan dalam menghadapi musim panas dan kering sepanjang Monsun Barat Daya (MBD).

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, ini merangkumi keupayaan tujuh empangan di negeri dengan Empangan Sungai Semenyih mempunyai kapasiti 100 peratus manakala empangan lain mempunyai takungan melebihi 74 peratus.

Beliau menjelaskan, keupayaan dan jangka hayat takungan empangan-empangan ini adalah sehingga enam bulan ke paras kritikal tertakluk kepada jumlah pelepasan air berdasarkan keperluan Loji Rawatan Air (LRA).

“Kolam-kolam dijenamakan sebagai Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) yang melibatkan lebih dari 140 buah kolam dan beberapa bekas lombong yang telah diklusterkan mengikut lembangan
sungai dapat dioptimumkan dengan keupayaan bekalan semasa sehingga tiga. bulan.

“Secara keseluruhannya, kesediaan sumber air negeri dianggarkan mampu bertahan sehingga sembilan bulan bagi menghadapi MBD,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ketika ini, Lembangan Sungai Selangor dan beberapa kawasan takungan telah dilengkapi fasiliti pam bagi penyaluran sumber air alternatif dengan kapasiti maksima aliran sebanyak 3,840 juta liter sehari (JLH) melibatkan pembangunan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan B.

Tambah Izham, Sungai Semenyih pula dengan fasiliti pam berkapasiti sebanyak 770 JLH maksima hasil dari pembangunan SJAM Pakej D.

“Kerajaan negeri menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) turut mengoptimumkan penggunaan air bumi sebagai sumber alternatif, khususnya bagi sektor industri melalui pelesenan dan caj abstraksi sumber air.

“Langkah ini bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan air terawat ketika musim kering. Setakat ini, tiga telaga air bumi telah dibina di Hulu Selangor untuk kegunaan khususnya semasa musim kering,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |