McDonald’s santuni komuniti, edar 1,000 hidangan sempena Syawal

7 hours ago 6

BANGI – McDonald’s Malaysia terus mengukuhkan komitmennya dalam menyantuni komuniti apabila menganjurkan Sambutan Syawal Mekdi yang berlangsung di McDonald’s Pandu Lalu Bandar Baru Bangi hari ini.

Pengarah Komunikasi Korporat McDonald’s, Malaysia, Shamsidar Yahya berkata, program tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia selain menghidupkan semangat Aidilfitri bersama komuniti setempat.

Menurutnya, sambutan itu turut melibatkan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk rakan media, jiran tetangga, anak-anak yatim serta anggota keselamatan seperti polis dan bomba.

“Di McDonald’s Malaysia, memberi kembali kepada komuniti adalah antara nilai teras kami dan menjadi keutamaan dalam setiap inisiatif yang dijalankan,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang Ramadan lalu, pihaknya telah melaksanakan pelbagai program kebajikan termasuk sumbangan moreh kepada 300 masjid dan surau serta agihan Kit Ramadan kepada keluarga memerlukan.

“Selain itu, di bawah Program Santun Pelajar, kami turut mengagihkan baucar bagi 50,000 hidangan kepada pelajar di 20 institusi pengajian tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan Syawal kali ini menyediakan sehingga 1,000 hidangan set Foldover Ayam bersama Pai Epal dan minuman kepada pengunjung.

Tambahnya, pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk persembahan artis terkenal, kompang, joget tradisional serta permainan interaktif bagi memeriahkan suasana.

“Program ini bukan sahaja berlangsung di Bangi, malah akan diteruskan di beberapa lokasi lain di seluruh negara bagi berkongsi kegembiraan Syawal bersama komuniti,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk media yang sentiasa menyokong usaha McDonald’s Malaysia dalam menyantuni masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |