SHAH ALAM – Pelaburan baharu bernilai RM95 juta oleh Koerber Technologies Sdn. Bhd. dilihat mampu memperkukuh kedudukan Malaysia, khususnya Shah Alam, sebagai hab kejuruteraan dan pembuatan teknologi tinggi bagi pasaran Asia.
Pelaburan strategik oleh anak syarikat kumpulan teknologi global dari Jerman, Koerber itu melibatkan pembinaan fasiliti baharu seluas 12,000 meter persegi di koridor perindustrian Hicom yang dijadual siap pada suku keempat tahun ini.
Kemudahan tersebut dijangka mula beroperasi sepenuhnya menjelang suku pertama 2027 dan bakal menggandakan kapasiti pengeluaran syarikat bagi memenuhi permintaan pasaran serantau yang semakin berkembang.
Selain itu, pembesaran fasiliti berkenaan turut dijangka mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi secara berperingkat dalam bidang teknikal, komersial serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Pengarah Urusan Operasinya, Heiko Ziesmann berkata, langkah itu mencerminkan keyakinan jangka panjang syarikat terhadap potensi Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik di Asia Tenggara.
Menurutnya, projek tersebut bukan sekadar pembangunan sebuah kilang baharu, sebaliknya menjadi simbol transformasi sektor pembuatan ke arah ekosistem yang lebih moden, inovatif dan mampan.
“Projek ini melambangkan lebih daripada sekadar sebuah kilang. Ia adalah komitmen untuk mengubah ruang pembuatan tradisional kepada ekosistem yang lebih moden, berinovasi dan mampan.
“Ia juga merupakan langkah penting dalam memperdalam keupayaan R&D tempatan, sekali gus memajukan kedudukan Malaysia sebagai hab kejuruteraan berteknologi tinggi di rantau ini,” katanya pada majlis pecah tanah fasiliti baharu itu baru-baru ini.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Operasi Global Koerber Technologies, Michael Stietz berkata, Malaysia dipilih sebagai pusat pengembangan utama syarikat susulan kekuatan operasi yang telah dibina sejak lebih 25 tahun lalu.
Katanya, daripada hanya lima pekerja ketika memulakan operasi, syarikat kini mempunyai lebih 300 tenaga kerja berkemahiran tinggi di Shah Alam dengan 95 peratus daripadanya rakyat tempatan.
“Dengan pembesaran ini, Malaysia akan menjadi hab pengeluaran utama Körber di Asia untuk pasaran Asia, termasuk melibatkan perniagaan lain seperti farmaseutikal dan rantaian bekalan,” ujarnya.

7 hours ago
7












![[VIDEO] Ada 6 lagi dapat 11A, doakan kawan-kawan saya juga – Fakhrul Iman](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/WhatsApp-Image-2026-04-02-at-10.23.27-PM.jpeg)


![[KEMAS KINI] Tiga sekeluarga maut, dua parah kemalangan tiga kenderaan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/f0f989eb-d1fe-48e5-ba1a-2ecfc6d9ccdb.jpeg)

































