PUTRAJAYA – Malaysia disahkan kekal bebas daripada penyakit anthrax walaupun Thailand ketika ini dilaporkan mempunyai satu kes kematian manusia akibat jangkitan penyakit itu pada 1 Mei lalu.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berkata, kematian dilaporkan di Thailand itu berpunca daripada penyembelihan lembu dan pengambilan daging mentah di Daerah Don Tan, Wilayah Mukdahan, Thailand.
Menurut DVS, penyakit anthrax disebabkan oleh bakteria Bacillus anthracis yang boleh menjangkiti haiwan dan manusia serta membawa maut.
“Malaysia bebas daripada penyakit anthrax sejak kes terakhir dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada tahun 1976.
“Sehingga kini, tiada laporan berkenaan penyakit anthrax di negara ini.
“Bagaimanapun, DVS sentiasa berwaspada memandangkan penyakit ini masih aktif di beberapa negara lain termasuk Thailand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penyakit anthrax boleh menjangkiti ternakan dan manusia melalui sentuhan langsung dengan spora bakteria yang dihasilkan oleh Bacillus anthracis.
“Antara tanda klinikal yang boleh dikesan pada haiwan termasuk kematian mengejut, demam tinggi, lemah, sukar bernafas, bengkak di kawasan jangkitan terutama di leher, muntah dan cirit-birit.
“Dalam sesetengah kes, darah juga boleh keluar dari hidung, mulut atau dubur haiwan,” katanya.
Susulan itu, DVS telah memohon jaminan daripada pihak berkuasa Thailand bahawa tiada haiwan atau produk haiwan dari kawasan berisiko tinggi anthrax dieksport ke Malaysia.
“Kami juga meminta laporan status terkini, langkah kawalan pergerakan haiwan dan pelan kontingensi penyakit anthrax daripada Thailand.
“Ini penting memandangkan Malaysia mengimport ternakan lembu dan kerbau dari Thailand,” katanya. – KOSMO! ONLINE