PETALING JAYA – Kejayaan Malaysia mempengerusikan rundingan damai antara Thailand dan Kemboja sehingga mencapai persetujuan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat jelas membuktikan ASEAN masih berupaya menyelesaikan konflik dalaman tanpa campur tangan kuasa luar.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, inisiatif diplomasi itu adalah bukti konsep ASEAN centrality (keutamaan pusat) yang diperkukuh menerusi kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.
“Malaysia telah berjaya menunjukkan keupayaan sebagai kuasa pertengahan ASEAN untuk mengurus konflik secara tersusun, sekaligus memaparkan wajah ASEAN sebagai rantau yang mampu bergerak sendiri dalam menyelesaikan perbalahan.

“Pendekatan diplomasi tersusun ini menjadi mercu tanda baharu bahawa penyelesaian konflik akibat isu sejarah seperti penjajahan, ketidakadilan, persempadanan bahkan ketegangan antara pemimpin ASEAN masih boleh dileraikan dalam kerangka ASEAN itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut beliau, konflik yang membabitkan elemen nasionalisme, ideologi, budaya dan agama sering kali menyemarakkan ketegangan terutama apabila dipacu oleh sentimen melampau di media sosial yang mencetuskan persepsi negatif rentas negara.
“Sentimen anti-kenegaraan yang dibakar oleh gelombang media sosial boleh menjejaskan kestabilan diplomasi rantau ini.
“Oleh itu, ASEAN perlu memiliki keupayaan geraksaraf dan perangsaraf strategik untuk mengawal naratif serta pemikiran rakyatnya agar tidak saling bermusuhan,” jelasnya.
Tambah Noor Nirwandy, keberanian Malaysia membawa Thailand dan Kemboja ke meja rundingan membuktikan bahawa kuasa-kuasa besar tidak seharusnya mendominasi penyelesaian konflik di Asia Tenggara.
“ASEAN mesti membina pelan penyelesaian konflik dalaman sendiri dengan lebih strategik bagi mengelakkan dominasi asing serta mengukuhkan kedaulatan serantau,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Thailand dan Kemboja hari ini mencapai kata sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan konflik sempadan yang berlaku di antara kedua-dua negara.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sidang akhbar bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai selepas sesi mesyuarat khas yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana.
“Perdana Menteri Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai menyatakan pendirian dan kesediaan mereka untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan kembali kepada keadaan seperti sedia kala (normalcy),” katanya.
Terdahulu, Anwar selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi mempengerusikan mesyuarat khas antara kedua-dua wakil negara itu yang bermula pada pukul 3.15 petang sebelum berakhir kira-kira dua jam kemudian.
Sesi itu turut disertai oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan sebagai penganjur bersama mesyuarat khas dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing sebagai pemerhati.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat itu merupakan langkah pertama yang penting ke arah penyuraian ketegangan serta pemulihan keamanan dan keselamatan.
Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara itu memuncak pada 25 Julai lalu sehingga mencetuskan pertempuran bersenjata di kawasan utara Kemboja.
Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu meningkat sejak 28 Mei, susulan insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang dipertikaikan, menyebabkan kematian seorang anggota tentera Kemboja.
Kedua-dua negara telah berselisih pendapat mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad dan pertikaian ini terus menjejaskan hubungan diplomatik mereka.
Sehingga Sabtu lalu, jumlah kematian akibat konflik panjang antara Thailand dan Kemboja meningkat kepada 33 orang. – KOSMO! ONLINE