KUALA LUMPUR – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) hari ini melakar satu lagi pencapaian penting dalam hubungan dua hala dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Strategik Nuklear Awam.
MoU berkenaan dimeterai sempena lawatan rasmi Setiausaha AS, Marco Rubio ke Malaysia yang juga merupakan destinasi pertama beliau di rantau Asia Tenggara.
Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sementara itu, Mohamad mengalu-alukan kehadiran Rubio dan menyifatkan lawatan itu sebagai bukti hubungan erat serta bersejarah antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
“Hari ini merupakan detik bersejarah iaitu pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Strategik Nuklear Awam antara Malaysia dan AS.
“MoU ini adalah satu langkah penting dalam usaha bersama kita untuk memperkukuh lagi Perkongsian Komprehensif Malaysia–AS,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurut beliau, Malaysia melihat tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang negara bagi menjamin keselamatan tenaga, merangsang pertumbuhan ekonomi serta membina keupayaan nasional.
Mohamad turut mengumumkan bahawa Malaysia bersedia untuk memulakan rundingan mengenai Perjanjian 123 yang akan membolehkan pemindahan teknologi dan bahan nuklear awam antara kedua-dua negara.
Selain daripada aspek tenaga nuklear, Mohamad turut menggariskan komitmen Malaysia terhadap keselamatan maritim, khususnya dalam menangani aktiviti pemindahan minyak secara haram dari kapal ke kapal (ship-to-ship transfer atau STS) di perairan negara.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menegaskan bahawa Malaysia kekal komited sepenuhnya terhadap peranannya sebagai sebuah negara pesisir.
“Sehubungan itu, kami sedang merangka peraturan baharu bagi memperketat penguatkuasaan terhadap pemindahan STS secara haram di perairan negara. Perubahan ini dijangka akan mula berkuat kuasa menjelang akhir bulan ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE