ALOR SETAR – Cuaca panas yang melanda Kedah sejak awal tahun ini memberi nilai tambah kepada penghasilan mangga harumanis apabila buahnya menjadi lebih manis dan harum berbanding sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab. Ghani berkata, cuaca panas memainkan peranan penting dalam peningkatan kualiti harumanis di Kedah sebagai kawasan alternatif baharu selain Perlis.
“Satu faktor untuk dapat rasa manis adalah cuaca panas sebab itu Kedah negeri yang sesuai untuk tanaman harumanis yang dapat bersaing dengan kawasan lain.
“Harumanis D’Aman ini juga sudah diiktiraf harum dan manisnya tahun ini sebab faktor cuaca ini seperti juga tanaman lain seperti nanas,” katanya selepas meninjau ladang harumanis di Alor Mengkudu di sini semalam.
Katanya, permintaan terhadap harumanis Kedah terus meningkat setiap tahun termasuk dari luar negara seperti Singapura. Tempahan eksport kini mencecah lima tan sebulan, namun masih belum dapat dipenuhi sepenuhnya, sekali gus membuktikan populariti buah itu semakin meningkat.
Dzowahir (kiri) menunjukkan buah harumanis Kedah di Kampung Tok Keling, Alor Setar semalam. – SHAHIR NOORDIN“Justeru, kerajaan negeri menyasarkan 100,000 pokok harumanis ditanam di seluruh Kedah dalam tempoh lima tahun akan datang bagi meningkatkan pengeluaran sehingga 500,000 pokok.
“Usaha memperluaskan pasaran eksport termasuk ke Singapura sedang giat dijalankan selain memenuhi permintaan dalam negara yang semakin berkembang,” katanya.
Seorang pengusaha harumanis, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, peningkatan cuaca panas antara 35 hingga 36 darjah Celsius pada peringkat awal penanaman harumanis sebelum ini membantu meningkatkan kualiti buahnya.
“Namun jika cuaca terlampau panas sehingga 40 darjah Celsius ketika pokok baru berbunga, ia akan merosakkan buahnya. Bagaimanapun, ia dapat diatasi dengan cara penanaman yang betul,” katanya.
Katanya, sehingga kini terdapat 500 pengusaha harumanis, namun hanya 165 daripada mereka berdaftar dengan Persatuan Pengusaha Harumanis Kedah.

7 hours ago
6






![[VIDEO] Ucapan 2022 isteri ‘rider’ maut dilanggar pemandu mabuk undang sebak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-30-at-2.53.22-PM-1.jpeg)







































