LIPIS – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara minggu hadapan bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum dilaksanakan dengan sempurna oleh semua majikan, termasuk syarikat konsesi dan pengendali keselamatan.
Timbalan Menteri Kesuma, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata operasi itu akan digerakkan selepas sambutan Deepavali dengan penyertaan pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Minggu depan kita akan operasi seluruh negara. Kita akan semak KWSP, gaji minima, Perkeso.
“Kita akan semak, dan sekiranya tidak menepati syarat, kita akan panggil ke pejabat. Jika tiada penyelesaian, kita akan saman melalui mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Makmur Kuala Lanar dan Majlis Pelancaran Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Penjom (Tempoyang) di perkarangan Rumah Makmur Kuala Lanar, di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rahman, hasil pemeriksaan pihaknya sebelum ini mendapati masih terdapat syarikat, khususnya yang beroperasi di bawah kontrak konsesi, gagal melaksanakan pembayaran gaji minimum yang sepatutnya.
Katanya, antara alasan yang diberikan majikan adalah kontrak lama yang ditandatangani sebelum pelaksanaan kadar baharu gaji minimum iaitu RM1,500 sebulan, menyebabkan mereka mendakwa tidak mampu menambah kadar gaji untuk semua kakitangan.
“Ini bukan soal gaji minimum dah, tapi soal konsesi contohnya konsesi sekuriti. Mereka masih tak dapat melaksanakan tanggungjawab melaksanakan gaji minima.
“Apabila kita laksanakan gaji minima bermula Januari, kemudian kakitangan bawah lima orang bermula pada Ogos, maka mereka ini masih tidak dapat pertimbang. Ini kerana kontrak mereka masih tertakluk kepada gaji sebelum ini iaitu RM1,500 dan mereka kata tak mampu untuk menambah RM200 kepada semua kakitangan yang baru itu,” katanya.
Abdul Rahman berkata, Kesuma memandang serius perkara tersebut dan menegaskan majikan wajib melaksanakan pembayaran gaji mengikut undang-undang sedia ada tanpa sebarang alasan.
“Pelaksana sepatutnya kena laksanakan, ‘by hook or by crook’ mereka kena lakukan. Harapan kita supaya mereka mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Akta kita dah laksana, tinggal lagi pelaksanaan yang diharap dapat dilakukan oleh majikan dengan baik,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak kementerian turut memantau sebarang cubaan majikan untuk “mengelat” dalam pembayaran dengan memasukkan elaun kerja lebih masa (overtime) sebagai sebahagian daripada gaji minimum.
“Sekarang ada yang mungkin mengelat. ‘Overtime’ tu dia masuk dalam gaji minima. Itu salah satu kesalahan dalam soal pembayaran gaji dan ia tidak adil pada pekerja,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE

2 weeks ago
21


















![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)






























