SHAH ALAM – Penubuhan jawatankuasa bagi menilai laporan penuh insiden Putra Heights akan diumumkan selepas laporan tersebut dijadikan dokumen umum.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi membincangkan secara terperinci senarai nama pakar-pakar yang akan dilantik bagi menganggotai jawatankuasa itu.
Katanya, ini termasuk mendapat dua wakil daripada pembangkang untuk menyertainya.
“Kita akan bawa dalam MMKN dan tengok senarainya dan sebagainya, nanti kita akan minta secara rasmi daripada pembangkang.
“Setakat ini, pembangkang belum bagi nama. Nanti saya akan maklumkan lepas laporan itu keluar, baharu kita maklumkan penubuhan itu bila nak ditubuhkan,” ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan majlis jalinan sinergi dan aspirasi rakan strategik Platform Selangor (PLATS) di sini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seramai tujuh pakar akan dilantik bagi menganggotai jawatankuasa itu dan diberikan tempoh selamasebulan dalam memberikan cadangan sewajarnya kepada kerajaan negeri dan Petronas serta semua pihak terlibat.
Ketika ditanya faktor penyumbang luar yang boleh disiasat selain tambakan tanah menyebabkan letupan itu, Amirudin memaklumkan setakat ini, ia merupakan penemuan di peringkat awal oleh Jawatankuasa Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang profesional dalam menjalankan tugas dan memahami teknikaliti.
“Saya juga sudah jelaskan banyak aspek terutama dakwaan dibuat oleh mereka yang baharu menjadi tokoh minyak dan gas sebaik kes itu berlaku.
“Jadi, Alhamdulillah kita sudah dapatkan finding (penemuan) daripada profesional dan saya bentangkan dan nanti report akan dikeluarkan secara rasmi. Saya akan maklumkan bila komplikasi (dokumen laporan penuh itu) sudah siap,” katanya. – KOSMO! ONLINE