Lelaki Korea dipenjara tiga bulan angkara tinggal lebih masa

6 hours ago 3

GEORGE TOWN – Seorang pekerja pembinaan warga Korea Selatan dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal lebih masa di negara ini.

Tertuduh, Jeon Eunjin, 55, mengaku bersalah atas pertuduhan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret, Nadratun Naim Mohd. Saidi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 30 Jun 2025, pada pukul 12.30 tengah hari di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, telah didapati tinggal di Malaysia setelah tamat tempoh pas lawatan sosial yang sah laku sehingga 10 Februari 2025 iaitu selama 90 hari tanpa sebab yang munasabah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Adilla Zaharuddin.

Ketika prosiding, Ahmad Danial berkata, pihaknya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh berdasarkan kesalahan yang telah dibuat iaitu tinggal melebihi had masa di negara ini.

Peguam YBGK, Nur Adilla yang mewakili tertuduh kemudian memohon mahkamah agar mempertimbang hukuman yang ringan kepada anak guamnya memandangkan ia adalah kesalahan pertama kali yang dilakukan olehnya.

“Anak guam saya sudah berkahwin, mempunyai dua orang anak dan dia telah mengakui kesalahan serta menjimatkan masa mahkamah,” katanya.

Majistret kemudian memerintahkan agar tertuduh dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan dari tarikh tangkap dan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah.

Dalam kes berasingan, tertuduh juga dikenakan denda RM2,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan selepas dia mengaku bersalah membuat laporan polis palsu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja membuat satu laporan palsu dengan niat bagi pihak polis menggunakan kuasa yang sah di sisi undang-undang untuk membuka kertas siasatan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, pada pukul 12.45 tengah hari, 28 Jun lalu. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |