Lambat sembuh, demam Muhammad tak macam biasa – Diana Danielle

1 day ago 6

PETALING JAYA – Meskipun bimbang dengan keadaan anak sulungnya, Muhammad yang mengalami lumpuh muka akibat demam virus, pelakon Diana Danielle berusaha mencari jalan terbaik bagi memastikan puteranya kembali sihat sepenuhnya.

Dalam masa sama, Diana atau nama lengkapnya, Diana Danielle Danny Beeson, 36, sempat menitipkan nasihat kepada ibu bapa agar segera mendapatkan rawatan sekiranya anak-anak mereka dijangkiti virus seperti yang dialami puteranya.

“Sebagai Ibu, saya cuba sedaya upaya untuk cari solusi supaya dia boleh pulih.

“Demam dia tak seperti yang sebelum-sebelum ini. Kalau dulu demam atau selesema dia boleh pulih dalam lima ke tujuh hari tapi kali ini lambat pulih.

“Saya sarankan pada ibu bapa semua, kalau anak ada jangkitan virus, terus berusaha untuk pulihkan dengan cepat dan dapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Mengulas lanjut mengenai kronologi kesihatan Muhammad, pelakon filem Imaginur itu mendedahkan anaknya terpaksa dibawa ke hospital berkali-kali sebelum ditahan di wad untuk pemeriksaan dengan pakar.

“Dia dah buat pemeriksaan kesihatan di hospital tiga kali sebab demam panas ‘on and off’.

“Tapi kali terakhir dia masuk, dia ditahan dalam wad untuk doktor diagnosis dan periksa dengan pakar-pakar yang ada, nak tahu apa sebenarnya keadaan dia.

“Doktor belum betul-betul tahu antara Sindrom Guillain-Barré (GBS) atau Bell’s Palsy sebab lumpuh pada kedua-dua belah muka cuma tak serius dan tak merebak pada bahagian badan yang lain,” katanya lagi.

Meskipun punca sebenar masih dalam siasatan doktor, Diana menjelaskan keadaan tersebut bermula daripada jangkitan selesema yang dihidapi Muhammad, namun dia optimis anaknya akan pulih mengikut tindak balas badan.

“Muhammad dah tak demam cuma disebabkan jangkitan virus selsema dia tempoh hari, jadi macam ini.

“Insya-Allah boleh pulih tapi ambil masa dalam beberapa minggu atau bulan ikut pada respons badan,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Diana berdepan detik cemas apabila anak lelakinya disahkan mengalami lumpuh muka namun kini sudah dibenarkan keluar wad.

Diana mendirikan rumah tangga dengan aktor dan pengarah, Farid Kamil pada 3 November 2012 namun bercerai talak satu buat kali kedua pada 24 Mac 2025.

Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Muhammad, 13 dan Nur Aurora, 11. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |