KUALA LUMPUR – Labbaik Travel Tours Sdn Bhd memperkenalkan pakej umrah khas bagi membantu golongan yang bergelut dengan tekanan emosi dan masalah kesihatan mental menemui ketenangan rohani menerusi ibadah umrah di Tanah Suci.
Menerusi kolaborasi bersama pendakwah dan pakar motivasi, Da’i Izzhar Nazri, inisiatif dinamakan Umrah Kembali Fitrah itu menyasarkan orang ramai yang ingin mendekatkan diri kepada Tuhan serta kembali kepada fitrah kehidupan.
Pengarah Urusannya, Muhd Yasin Yunaris berkata, usaha itu sebahagian daripada misi jangka panjang dalam menawarkan pengalaman umrah yang lebih bermakna dan menyentuh hati.
“Kerjasama ini membawa misi bukan sekadar perjalanan ke Tanah Suci, tetapi juga menyucikan jiwa dan mengembalikan manusia kepada fitrah sebenar.
“Kami mahu membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya yang berdepan masalah kesihatan mental untuk menemui ketenangan sebenar menerusi umrah di Mekah dan Madinah,” katanya ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Labbaik Travel Tours dan Da’i Izzhar di Wisma Andalusia, di sini, hari ini.
Menurut Muhd Yasin, pakej Umrah Kembali Fitrah akan bermula pada tahun hadapan dengan harga serendah RM8,900 seorang, meliputi dua tarikh perjalanan iaitu dari 25 Januari hingga 5 Februari dan 12 April 2025, selepas Aidilfitri.
“Perjalanan umrah bersama Da’i Izzhar ini menekankan bimbingan rohani secara eksklusif dan pengalaman umrah yang menyentuh hati dengan pendekatan yang lebih peribadi.
“Dengan dua tarikh yang kami sediakan sebanyak dua perjalanan pada tahun hadapan, supaya membuka peluang kepada lebih ramai orang,” tambahnya.
Sementara itu, Da’i Izzhar yang turut dilantik sebagai duta Labbaik Travel Tours berkata, akan menggunakan pengaruh media sosial dan pengikutnya bagi menyampaikan mesej penting tentang nilai sebenar ibadah umrah dalam mencari ketenangan.
“Ramai anak muda dan golongan profesional hari ini ada kemampuan kewangan, tetapi tidak tahu cara terbaik untuk mencari ketenangan jiwa berlandaskan ajaran agama.
“Saya mahu bantu mereka melihat hikmah dan falsafah di sebalik perjalanan umrah menerusi platform yang lebih dekat dengan mereka,” ujarnya.
Dia turut berharap agar usaha ini mampu menjadi alternatif rohani yang memberi harapan dan ketenangan jiwa kepada mereka yang mencari makna sebenar kehidupan. -KOSMO! ONLINE