Kumpulan terakhir jemaah haji Andalusia selamat tiba di tanah air malam tadi

8 hours ago 3

SEPANG – Kumpulan terakhir seramai 101 jemaah haji Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) selamat tiba di tanah air malam tadi selepas menyempurnakan ibadah haji bagi musim haji 1446H/2025.

Seramai 84 jemaah termasuk tiga petugas tiba kira-kira pukul 7 malam manakala, 17 lagi jemaah tiba sekitar pukul 9 malam.

Ketibaan mereka di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi disambut kakitangan Andalusia dengan cenderahati.

Sebagai tanda penghargaan, jemaah haji Andalusia disambut dengan kuntuman bunga ros sebagai simbolik kasih sayang dan penghormatan atas kejayaan menyempurnakan haji tahun ini.

Secara keseluruhan, seramai 573 jemaah haji Andalusia selamat tiba di tanah air dengan seorang jemaah meninggal dunia di Tanah Suci pada 6 Jun lalu.

Allahyarham Abd Yazit Matt, 65, berasal dari Kampung Nisam Mukim Kurung Batang, Kangar Perlis, dilaporkan meninggal dunia pukul 11.22 malam di Hospital Pakar Al Noor akibat serangan jantung.

Waris arwah iaitu isteri dan anak perempuannya adalah antara kumpulan jemaah haji terakhir yang tiba di tanah air malam tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Operasi Haji Andalusia 2025, Hanafie Mohd Zain ketika ditemui berkata, beliau telah mengikuti dua musim haji sebelum ini dan tahun ini terbabit sebagai petugas haji.

Katanya, cabaran terbesar sebagai petugas haji adalah menguruskan kesemua jemaah di bawah Andalusia supaya dapat menyempurnakan kesemua rukun-rukun haji dengan sempurna.

“Antara pengalaman yang tidak dilupakan, saya bersama jemaah terpaksa berada di dalam bas selama hampir sembilan jam akibat kesesakan jalan raya ketika dalam perjalanan selepas wukuf di Arafah menuju ke Mudzalifah.

“Sedangkan jarak antara dua lokasi itu sekitar 15 kilometer sahaja. Kita berangkat pukul 1 pagi malam 10 Zulhijjah dan tiba di lokasi pada waktu Zohor hari berikutnya.

“Alhamdulillah, kami dapat selesaikan cabaran itu. Malah, saya bersama jemaah juga terpaksa berjalan sejauh dua kilometer (km) dari tempat bas berhenti menuju ke Mina,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, beliau juga memuji perkhidmatan ditawarkan Tabung Haji (TH) kerana menyediakan pelbagai keselesaan kepada jemaah bermula di tanah air sehinggalah jemaah pulang dengan selamat.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |