PETALING JAYA – Bermula atas dasar kerja hingga berputih kuntum cinta, BASS kini bukan sekadar gabungan akronim dua nama Bella Astillah dan Syed Saddiq, sebaliknya dua jiwa dari dua dunia berbeza yang menuju jalan ijab kabul.
Dari perjalanan yang bermula daripada kerjasama profesional, sebuah usaha murni yang berjaya mengumpul dana lebih RM6 juta untuk rakyat namun tanpa disedari, kebersamaan tersebut menyatukan degup jantung mereka dengan ikatan perkahwinan.
Genap seminggu Syawal, segalanya memuncak apabila Syed Saddiq secara rasmi mengumumkan berita gembira ini dengan satu kenyataan yang cukup menyentuh hati: “I asked, she said yes” (Saya bertanya, dia bersetuju)
Dengan pendedahan video lamaran penuh romantik di puncak Gunung Kinabalu, Sabah, di tengah edinginan dan hujan lebat di puncak tertinggi Malaysia itu, Syed Saddiq memilih untuk mengikat janji setia, bukan pengakhiran kepada sebuah spekulasi, sebaliknya garis permulaan buat kisah hidup mereka yang baharu.
Kini, seluruh mata tertumpu ke arah majlis pertunangan mereka petang ini. Selepas melalui pelbagai fasa kehidupan yang mencuri perhatian, detik bersejarah ini bukan sahaja menjadi milik BASS malah sebuah simbol rahsia indah takdir yang menyatukan dua jiwa dari dua dunia yang berbeza.
Januari 2025
Hubungan mula menjadi perhatian selepas Bella dan Saddiq dilantik sebagai duta jenama fesyen dan terlibat dalam misi mendaki Gunung Kinabalu bagi kutipan dana RM6 juta untuk rakyat Muar. Video Bella memandu lori ditemani Saddiq disebelahnya ketika menyerahkan sumbangan kepada penduduk Sandakan, Sabah tular dalam media sosial.
Februari 2025
Keakraban mereka semakin menarik perhatian apabila ahli politik muda itu muncul dalam video video muzik Bella berjudul Tapi Bukan Denganmu selain rancak berkongsi konten dalam media sehingga menjadi usikan netizan. Saddiq enggan mengesahkan atau menafikan hubungan. Bella memilih pendekatan berhati-hati apabila diajukan soalan mengenai keakraban mereka.
Mac 2025
Bella hadir ke mahkamah sebagai tanda sokongan moral terhadap kes Syed Saddiq. Pada masa sama, timbul dakwaan hubungan mereka sekadar gimik pemasaran. Tular sebuah video menunjukkan Saddiq terjun ke dalam laut tanpa pakaian renang yang lengkap dan berenang merentasi lautan dalam keadaan hujan lebat menuju ke arah Bella yang menunggu di tepi pantai.
Momen tersebut mencetuskan gelombang spekulasi besar dalam media sosial sehingga mendapat perhatian portal hiburan luar negara, termasuk di Korea Selatan.
Jun 2025
Bella dilihat mengalirkan air mata kegembiraan selepas Saddiq dibebaskan di Mahkamah Rayuan. Aksi berkongsi makanan tular, sekali gus menguatkan spekulasi hubungan romantik. Khabar angin pertunangan mula bertiup, namun dinafikan kedua-duanya.
September 2025
Saddiq dirakam bercuti bersama anak-anak Bella di Nice, Perancis. Momen tersebut mencetuskan reaksi ‘family goals’ dalam kalangan netizen.
November 2025
Muncul kontroversi dakwaan ‘orang ketiga’ (individu dikenali sebagai Ami Ilana) yang mengganggu hubungan namun, kedua-duanya kekal rapat dan terus mengunci mulut mengenai status sebenar.
Januari 2026
Berbeza dengan ekspedisi pertama Gunung Kinabalu, pendakian kali kedua menyaksikan kehadiran insan istimewa dalam hidup Bella, iaitu anaknya, Ayden Adrean. Momen tersebut kembali mencuri tumpuan apabila video pendakian mereka tular dalam media sosial. Ketika inilah detik lamaran Saddiq berlangsung.
Mac 2026 (awal)
Pasangan ini memberi bayangan hari bahagia menerusi perkongsian foto hitam putih. Rakan selebriti mula mengusik mengenai perancangan mereka.
Insiden ‘terlepas cakap’ pempengaruh media sosial, Space Dollah mengenai apa yang dikatakan ‘rahsia’ adiknya, bersama Bella turut mencetuskan tanda tanya netizen.
Insiden selepas rakaman video siaran langsung memaparkan Space Dollah itu memberi bayangan tentang hubungan Syed Saddiq dan Bella yang seperti sedang melangkah ke fasa seterusnya.
28 Mac 2026
Kemuncaknya, Syed Saddiq akhirnya mengesahkan dia bakal bertunang dengan Bella pada majlis eksklusif di ibu negara, petang ini. Melalui hantaran Instagram berkongsi klip video memaparkan dirinya melamar Bella di puncak Gunung Kinabalu pada Januari awal tahun ini. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
7

![[VIDEO] Suami beli baju ‘ala hospital’ demi sedondon dengan isteri di hospital](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-28-at-4.51.14-PM.jpeg)













































