Krisis kejatuhan ringgit: Saya selesai macam ‘rawat’ pesakit – Tun M

14 hours ago 6

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri (PM), Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumpamakan tindakan dalam menyelesaikan masalah pentadbiran negara sama seperti doktor yang merawat pesakit.

Beliau berkata, sebagai pemimpin, individu itu perlu berani membuat keputusan dengan memberikan contoh situasi yang dihadapinya ketika krisis mata wang yang berlaku pada tahun 1997.

“Takut memang takut tapi saya punya cara macam doktor juga. Bila kita ada masalah, tak ada ubat yang 100 peratus mujarab. Kadang-kadang baik, kadang-kadang tidak.

“Masa saya jadi doktor, saya kena tahu apa penyakit orang dan ubat sesuai. Sebab tu masa apabila jadi pemimpin, apabila negara skit jadi saya perlu kesan puncanya dan apakah rawatan yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program Podcast Dr M sempena ulang tahun kelahirannya ke-100, di media sosial hari ini.

Katanya lanjut, tindakan menetapkan kadar tukaran ringgit ketika krisis mata wang pada 1997 dikritik dan ditentang banyak pihak namun beliau membuat keputusan berani kerana terlebih dahulu membuat penilaian menyeluruh.

“Apa pun keputusan ada pro dan kontra. Saya rujuk orang yang cekap dalam bidang kewangan, perniagaan dan sebagainya.

“Orang kritik kata kalau ambil keputusan itu, kita akan hadapi banyak masalah tapi saya ambil kira masalah (ketika itu). Tak buat pun masalah (tetap) jadi. Jadi saya berpendapat, kita lakukan sesuatu walaupun ditolak dunia,” ujarnya.

Beliau berkata, tindakan itu diputuskan berikutan kemampuan negara ketika itu yang memiliki simpanan dan rizab kukuh berbanding negara lain.

“Rupanya ramai tak tahu Malaysia ni mempunyai tabungan wang yang besar. Kita ada simpanan dalam bentuk dolar Amerika Syarikat sebab tu kita berani buat tindakan itu.

“Pelbagai jawatankuasa ditubuhkan termasuk untuk menyelesaikan pinjaman tidak berbayar dan hutang semasa krisis berlaku. Negara lain tak boleh buat, tapi kita boleh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |