BENTONG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas gas petroleum cecair (LPG) dan menyita tiga buah lori dengan nilai keseluruhan RM621,887 kerana disyaki menjalankan aktiviti menjual LPG secara borong tanpa lesen yang sah.
Pengarah KPDN Pahang Jezlily Jamaluddin berkata, dalam serbuan di bawah Ops Gasak di sebuah premis semalam pihaknya menyita LPG bernilai RM171,687 dan tiga buah lori bernilai RM450,200.
“Dalam serbuan ini kita menyita 46 tong gas 12 kilogram (kg), 1,056 tong gas 14 kg dan tiga tong gas 50 kg serta menyita tiga buah lori serta merampas dokumen-dokumen berkaitan.
“Berdasarkan dokumen yang dikemukakan lesen borong LPG milik premis berkenaan telah tamat tempoh, sekali gus menimbulkan syak wajar wujudnya pelanggaran undang-undang selain berdasarkan siasatan awal mendapati muatan LPG berkenaan sepatutnya di hantar ke premis lain di Mentakab di sini,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya operasi yang dilakukan merupakan hasil daripada risikan yang dijalankan pihaknya selama sebulan terhadap premis berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjual secara borong barang kawalan tanpa lesen yang sah dan Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengalih barang kawalan dari lokasi berlesen ke lokasi tidak berlesen.
Dalam pada itu beliau berkata, pihak kementerian tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau syarikat yang melanggar peruntukan undang-undang berkaitan barang kawalan seperti LPG.
Katanya, tindakan tegas akan diambil demi memastikan keselamatan pengguna dan kestabilan rantaian bekalan di pasaran.
“Sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga, khususnya yang melibatkan penyelewengan atau pelanggaran perundangan berkaitan barang kawalan boleh dilaporkan oleh orang awam melalui pelbagai saluran aduan rasmi KPDN atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDN di seluruh negeri,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE