TELUK INTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan satu aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi nelayan dalam serbuan Ops Tiris 4.0 di sebuah jeti perikanan di Hutan Melintang di sini hari ini.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan tersebut dilaksanakan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Teluk Intan pada pukul 1.50 petang tadi.
Beliau berkata, pasukan serbuan telah menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah premis di jeti perikanan Hutan Melintang susulan maklumat risikan selama dua minggu berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan minyak diesel.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut telah menerima bekalan minyak diesel bersubsidi nelayan sebanyak 32,760 liter melalui sebuah lori tanker kapasiti 52 tan.
“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati terdapat ketidakpatuhan serius terhadap dokumentasi penghantaran, di mana alamat yang tertera pada dokumen Delivery Order (DO) tidak sepadan dengan alamat lesen sah CSA Runcit barang kawalan minyak diesel dimiliki oleh premis tersebut yang juga Pusat Jualan Diesel Bersubsidi Nelayan di Hilir Perak,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, menurut Kamalludin, semakan lanjut bersama pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak mendedahkan bahawa lori tangki (tanker) berkenaan tidak tersenarai dalam senarai yang dibenarkan untuk mengangkut dan membawa minyak diesel bersubsidi nelayan ke Hilir Perak.
Beliau berkata, pasukan serbuan turut menemukan bukti berlakunya penyelewengan rekod penjualan minyak diesel kepada bot nelayan yang layak.
“Rekod jualan yang ditemukan menunjukkan transaksi kepada sembilan buah bot, namun pemeriksaan fizikal dan semakan mendapati hanya empat buah bot benar-benar membuat tuntutan minyak dan selesai mengambil minyak di jeti ini pada tarikh tersebut.
“KPDN turut mengesyaki terdapat kemungkinan minyak diesel berkenaan akan dibawa keluar menggunakan kenderaan darat seperti lori atau dijual semula kepada bot yang tidak layak dengan harga industri atau lebih tinggi daripada harga pasaran dengan niat untuk menyeleweng subsidi minyak diesel nelayan ini,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini harga pasaran minyak diesel industri telah mencapai harga lebih RM4 bagi satu liter.
“Susulan daripada penemuan tersebut, KPDN telah mengambil tindakan terhadap pemilik premis dan pembekal kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Termasuklah menyita minyak diesel dianggarkan 32,760 liter, sebuah lori tanker 52 tan dan beberapa dokumen lain yang berkaitan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kamalludin berkata, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM599,058, yang merangkumi nilai minyak diesel (RM149,058) dan kenderaan lori
tanker (RM450,000).
“Dua individu, masing-masing berbangsa Melayu dan Cina, telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
3















































