Hina institusi Diraja, ‘Ratu Balqis’ dipenjara 10 bulan

5 hours ago 5

JOHOR BAHRU – Seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai Ratu Nur Putri Ratu Balqis di TikTok menerima padah apabila dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku salah melakukan perbuatan menghina Institusi Diraja dan memuat naik hantaran palsu serta jelik melampau di media sosial, Mac lalu.

Hakim N. Kanageswari menjatuhkan hukuman itu terhadap Nurul Huda Mohd. Bajuri, 49, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan tertuduh pada 31 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja sebagai pereka grafik didakwa memuat naik hantaran mendakwa dirinya merupakan guru kepada Ketua Negara Malaysia ke-17, Sultan Ibrahim, termasuk para sultan di Malaysia.

Hantaran itu didakwa dibuat secara sedar dengan niat untuk mendatangkan gangguan kepada mana-mana orang dan telah dibaca seorang pengadu kira-kira pukul 4 petang pada 27 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa menggunakan akaun Instagram sama untuk memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap sultan di Malaysia dan Brunei, selain menyifatkan mereka dengan kata-kata jelik dan mencetuskan provokasi.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd. Nizam, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran dan pencegahan kepada masyarakat supaya tidak mengambil ringan perbuatan menghina institusi Diraja di media sosial.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mu’adz Zulkarnain pula memohon hukuman minimum dengan alasan anak guamnya merupakan ibu tunggal, tidak mempunyai pendapatan tetap dan mempunyai seorang anak sebagai tanggungan.

Katanya, tertuduh turut menunjukkan keinsafan apabila menukar pengakuan kepada bersalah selepas sebelum ini tidak mengaku bersalah.

Berdasarkan fakta kes, pengadu mengesan dua hantaran yang dimuat naik tertuduh di TikTok dan Instagram sebelum membuat laporan polis.

Susulan laporan itu, polis menyerbu kediaman tertuduh di Pangsapuri Bukit Saujana, Jalan Panglima, Yahya Awal, di sini kira-kira pukul 12.10 tengah malam pada 31 Mac lalu.

Dalam serbuan itu, polis menahan tertuduh serta merampas sebuah telefon bimbit dan sekeping kad SIM.

Pemeriksaan terhadap telefon berkenaan kemudian menemukan beberapa video dalam album gambar yang sepadan dengan video dimuat naik ke akaun TikTok dan Instagram tertuduh.

Kesalahan di bawah Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |