MENYARUNG jersi negara ketika masih di bangku sekolah bukan satu pencapaian yang datang tanpa pengorbanan.
Di sebalik kejayaan di gelanggang, seorang atlet murid perlu berdepan jadual latihan yang padat, pertandingan, pelajaran yang tertinggal serta masa bersama keluarga dan rakan-rakan yang terpaksa dikorbankan.
Namun, bagi Siti Nur Hidayatul Akhma Suhhaimi, kesibukan sebagai atlet kebangsaan tidak pernah dijadikan alasan untuk mengetepikan pelajaran.
Sebaliknya, disiplin, pengurusan masa dan sokongan orang di sekeliling menjadi antara faktor yang membolehkannya bergerak seiring dalam sukan dan akademik.
Usaha tersebut akhirnya mendapat pengiktirafan apabila dia menerima Anugerah Emas Kementerian Pendidikan, satu pencapaian yang tidak pernah dijangkakannya.
Siti Nur Hidayatul yang juga penerima anugerah Puteri Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) menerima anugerah-anugerah itu pada Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-Milo 2025 yang berlangsung di Bangi, Selangor bulan lalu.
Menurut gadis yang mesra disapa Hidayatul itu, ketika seorang murid menyampaikan persembahan sajak dan syair pada majlis berkenaan, dia merasakan isi persembahan tersebut begitu dekat dengan pengalaman yang pernah dilaluinya.
Namun, dia sama sekali tidak menyangka namanya akan diumumkan sebagai penerima anugerah.
“Apabila nama saya dipanggil, air mata mula bergenang. Bukan kerana sedih, tetapi saya sangat terharu apabila mengenangkan segala penat lelah, usaha dan pengorbanan yang akhirnya membuahkan hasil,” katanya membuka bicara bersama K-Remaja.
Hidayatul yang merupakan atlet bola jaring menceburi sukan itu sejak di bangku sekolah rendah dan kini pada usia 20 tahun dia masih seorang pelajar kerana meneruskan pengajian dalam program prauniversiti di Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Hidayatul mula mewakili skuad remaja kebangsaan pada 2023 ketika berusia 17 tahun, sebelum disenaraikan dalam skuad senior kebangsaan setahun kemudian.
Hidayatul yang juga merupakan pemain Wilayah Persekutuan turut pernah dua kali meraih emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) edisi Kuala Lumpur 2022 dan Sarawak 2024.
Dia juga meraih Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Netball Super League 2025 dan emas pada Sukan SEA Bangkok 2025.
Bagi Hidayatul, menjadi atlet murid menuntut kebijaksanaan menguruskan masa, terutama apabila jadual latihan semakin padat menjelang sesuatu pertandingan.
Walaupun keletihan adakalanya membuatkan proses pembelajaran menjadi sukar, dia tetap cuba mencari ruang untuk belajar.
“Ada kalanya saya berasa sangat penat, tetapi saya tetap berusaha untuk belajar.
“Walaupun hanya sempat membaca satu muka surat, saya percaya sedikit ilmu yang diperoleh tetap lebih baik daripada tidak belajar langsung,” ujarnya.
Pada masa sama, sokongan sekolah, guru, rakan dan jurulatih banyak membantunya mengikuti semula pelajaran yang tertinggal. Antaranya menerusi kelas tambahan selepas dia terpaksa meninggalkan sesi pembelajaran kerana latihan atau pertandingan.
Pengalaman tersebut membuatkan Hidayatul tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa penglibatan aktif dalam sukan akan menjejaskan pencapaian akademik.
Sebaliknya, sukan mengajarnya tentang disiplin, tanggungjawab dan kepentingan menguruskan masa dengan baik.
“Bagi saya, kejayaan dalam sukan dan akademik bukan hanya bergantung pada siapa yang paling bijak atau berbakat, tetapi juga siapa yang paling berdisiplin dan sanggup berkorban.
“Remaja tidak perlu takut untuk aktif bersukan kerana sukan bukan sahaja melahirkan atlet, tetapi turut membentuk sahsiah dan karakter seseorang,” jelasnya.
Asas disiplin Hidayatul sebenarnya sudah dibentuk sejak kecil. Bapanya yang merupakan seorang askar amat menitikberatkan soal disiplin dan ketepatan masa dalam keluarga.
Didikan itu kemudiannya membantu Hidayatul menguruskan rutin sebagai pelajar dan atlet.
Di sekolah pula katanya, dia gemar belajar bersama rakan serta tidak segan bertanya sekiranya kurang memahami sesuatu topik.
Kejayaan Hidayatul meraih dua anugerah iaitu Puteri MSSM dan Anugerah Emas Kementerian Pendidikan diraikan bersama jurulatihnya, Coach Pei (kanan).Bagaimanapun, perjalanan sebagai atlet muda bukan sentiasa mudah.
Antara cabaran terbesar yang pernah dilaluinya ialah kecederaan sehingga menyebabkan keyakinan diri dan prestasinya menurun. Pengalaman itu menyedarkannya bahawa kekuatan seorang atlet tidak hanya terletak pada fizikal.
“Untuk menjadi seorang atlet, kita bukan sahaja perlu kuat dari segi fizikal, tetapi juga emosi, kesabaran dan ketabahan.
“Setiap kali berada pada tahap paling sukar, saya akan mengingatkan diri tentang sebab saya mula menceburi sukan ini,” katanya yang difahamkan mula menceburi sukan bola jaring ketika di bangku Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul.
Baginya, ibu bapa turut menjadi sumber kekuatan utama ketika dia berdepan saat sukar dan hampir berputus asa.
Dalam kesibukan mengejar prestasi, Hidayatul juga perlu menerima hakikat bahawa sebahagian masa bersama keluarga dan rakan-rakan terpaksa dikorbankan.
Namun, segala pengorbanan itu turut menghadirkan pengalaman yang sukar dilupakan. Antaranya ketika pertama kali menyarung jersi Malaysia dan memenangi pingat pertamanya sebagai wakil negara pada Kejohanan Remaja Asia 2023 di Korea.
Ketika itu, Hidayatul merupakan atlet termuda dalam pasukan dan diberi kepercayaan berada dalam barisan tujuh pemain utama bagi setiap perlawanan.
Bimbingan jurulatih dipanggil Coach Pei dan Kak Min sepanjang kejohanan berkenaan turut membantu meningkatkan keyakinannya untuk memberikan yang terbaik di gelanggang.
Selain pencapaian, perjalanan dalam sukan turut membentuk keperibadiannya. Antara nilai yang paling dipegang ialah sopan santun, saling menghormati dan merendah diri.
Menurutnya, Coach Pei dan Coach Farhana sentiasa mengingatkannya supaya tidak lupa diri walau setinggi mana pencapaian yang diraih.
Jurulatih sekolah rendah Hidayatul iaitu Cikgu Nasir dan Cikgu Wahida serta ibunya sendiri turut banyak menunjukkan contoh mengenai kepentingan menghormati orang lain.
Selaku jurulatih, Coach Pei atau Puah Pei San, 40, melihat kesungguhan dan sifat ingin tahu sebagai antara kekuatan Hidayatul sejak usia muda.
Menurutnya, potensi Hidayatul mula dikesan ketika sesi pencarian bakat di Kejohanan MSSM pada usia 12 tahun apabila dia memiliki ketinggian ideal dan mampu menguasai kemahiran asas bola jaring dengan baik.
Perjalanannya kemudian diteruskan selepas terpilih menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
“Antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaannya ialah kesungguhan serta sifat ingin tahu yang tinggi. Selain itu, dia dikurniakan ‘game sense’ yang baik sejak usia muda.
“Kelebihan itu membolehkannya memahami aspek taktikal dengan lebih cepat serta melaksanakannya dengan tepat dan berkesan di gelanggang,” katanya.
Pei San berkata, pencapaian sukan sememangnya menjadi antara petunjuk prestasinya sebagai jurulatih, namun akademik tidak pernah diketepikan anak-anak bimbingannya.
Kongsinya, atlet di bawah bimbingannya perlu membawa modul pembelajaran dan buku apabila mengikuti program atau perjalanan di luar sekolah. Selepas perlawanan pada waktu malam, masa turut diperuntukkan untuk ulang kaji dan menyiapkan modul yang diberikan guru.
Dia juga sentiasa berkomunikasi dengan guru akademik bagi memantau perkembangan pelajaran atlet sepanjang tahun.
Bagi Hidayatul, perjalanan masih panjang. Dia mahu terus mewakili Malaysia dalam lebih banyak kejohanan antarabangsa selain meningkatkan prestasi dan kemampuan diri.
“Teruskan bermimpi dan beranilah memasang impian yang besar. Namun, jangan hanya sekadar bermimpi. Setiap impian perlu disertai usaha yang konsisten, disiplin dan kesabaran.
“Jangan mudah berputus asa apabila berdepan kegagalan kerana setiap kegagalan merupakan satu pengajaran untuk kita menjadi lebih baik,” pesannya.

8 hours ago
6















































