PUTRAJAYA – Keputusan permohonan bagi melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) melalui UPUOnline® bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda Sesi Akademik 2026/2027 untuk lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf akan diumumkan pada Jumaat ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, susulan itu, keputusan berkenaan boleh disemak mulai pukul 12 tengah hari hingga 23 Ogos pada pukul 5 petang.
“Keputusan boleh disemak menerusi platform atas talian melalui pautan https:/ upu.mohe.gov.my dan https://upu2.mohe.gov.my.
“Selain itu, ia boleh disemak melalui aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar dan aplikasi Mobile MyGov di telefon pintar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.
KPT berkata, pengesahan setuju terima atau tolak tawaran boleh dilaksanakan bermula 15 hingga 23 Ogos di laman web UA masing-masing.
“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh UA kepada calon yang berjaya mulai 15 Ogos 2026 setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan.
“Hanya pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline® bagi kemasukan ke UA di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai 14 Ogos pukul 12 tengah hari hingga 23 Ogos pukul 5 petang,” katanya.
Menurut KPT, tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2026/2027 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan UA tidak dibenarkan.
“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan.
“Sebarang pertanyaan berkenaan dengan permohonan UPUOnline® boleh dimajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA secara terus di Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi, Putrajaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
7















































