Guru prasekolah didakwa noda kanak-kanak dalam kelas

8 hours ago 7

SEREMBAN – Seorang guru prasekolah didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, April lalu.

Tertuduh, Muhamad Shazali T. Sharipudin, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berkenaan dengan cara memasukkan lidah ke dalam mulut mangsa bagi tujuan seksual.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 10 pagi pada 1 April lalu ketika berada di dalam kelas prasekolah di sebuah sekolah kebangsaan di daerah Rembau.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa kira-kira pukul 9 pagi pada 3 April lalu, juga di dalam kelas prasekolah sekolah berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi, memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain memohon syarat supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi kejadian.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Syed Amirul Syed Edros memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai risiko melarikan diri.

Menurut peguam, tertuduh pernah direman pada April lalu dan sejak itu berada dalam jaminan polis serta hadir ke mahkamah seperti yang ditetapkan.

“Anak guam saya masih bujang dan kini menanggung ibunya. Pendapatan bersihnya kira-kira RM4,000 sebulan dan telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah selain tiada lagi berada di sekolah berkenaan,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan syarat tertuduh atau wakilnya dilarang mengganggu mangsa dan wakil mangsa, selain perlu melaporkan diri pada setiap 1 haribulan sehingga kes selesai.

Pasport antarabangsa tertuduh turut diarahkan diserahkan kepada mahkamah dan beliau perlu mematuhi syarat jaminan yang ditetapkan, manakala mahkamah menetapkan 15 September ini sebagai tarikh pengurusan kes. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |