Korek telinga, cungkil gigi nampak biasa, tetapi…

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Tabiat harian yang sering dianggap biasa dan tidak berbahaya sebenarnya boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan jika dilakukan secara berterusan.

Public Health Malaysia (PHM) menjelaskan tindakan seperti mengorek telinga, mencungkil gigi dengan objek tajam, memakai fon telinga dan bekerja lama di depan komputer riba adalah antara rutin harian yang kelihatan biasa namun memberi impak negatif dalam jangka masa panjang.

“Mengorek telinga menggunakan putik kapas boleh menolak tahi telinga lebih dalam, menyebabkan saluran telinga luka atau tersumbat. Begitu juga dengan mencungkil gigi menggunakan objek tajam yang boleh melukakan gusi dan mengundang jangkitan.

“Mengguna fon telinga buat jangka masa lama menjadikan pendengaran rosak perlahan-lahan tanpa disedari kerana terdedah pada bunyi kuat terlalu lama,” jelas PHM menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, PHM turut menasihatkan orang ramai agar tidak tidur dalam posisi meniarap, lebih-lebih lagi jika masih memakai kanta sentuh kerana boleh memberi tekanan pada tulang belakang serta mengganggu pernafasan.

“Tidur meniarap sambil memakai kanta sentuh boleh meningkatkan risiko jangkitan mata serius selain menyebabkan tekanan pada tulang belakang,” tambahnya.

Dalam pada itu, tabiat membahayakan adalah minum minuman panas terus dari cawan, menggunakan semula botol plastik lama, serta membunyikan sendi badan seperti jari dan leher dengan tekanan berlebihan.

“Minuman panas yang diminum terus boleh melecurkan tekak dan dikaitkan dengan risiko kanser esofagus. Botol plastik lama pula boleh melarutkan bahan kimia jika digunakan berulang kali, manakala tabiat ‘crack’ sendi secara kasar boleh menjejaskan struktur tulang dan sendi,” jelasnya.

PHM menyeru orang ramai supaya lebih peka dengan rutin seharian dan mengutamakan amalan yang lebih selamat demi menjaga kesihatan tubuh dalam jangka masa panjang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |