Koperal polis, dua lelaki tak mengaku bantu suspek kes bunuh

9 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis dan dua lagi individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pelbagai tuduhan membantu seorang suspek kes bunuh melepaskan diri dan daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Mengikut pertuduhan, Koperal Mohd, Syhrulazlan Mohd. Safri, 35, didakwa dengan sengaja membantu suspek berkenaan, Mohd. Hafeez Ali, 45, melepaskan diri daripada menangkap lelaki berkenaan di taman permainan berhampiran sebuah kondominium di Gombak pada 12.15 malam, 29 Jun lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 221(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, rakan kepada Mohd. Hafeez, Noor Azzly Hisham Sabtu, 47, didakwa membuang pisau yang digunakan Mohd. Hafeez untuk membunuh mangsa di sebuah premis berhampiran kondominium tersebut pada pukul 11.45 malam, 28 Jun lalu.

Noor Azzly Hisham didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Pada waktu sama, seorang lagi rakan Mohd. Hafeez, N. Jayashanthan, 50, didakwa dengan sengaja melindungi suspek berkenaan daripada dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 212 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim.

Mohd. Syhrulazlan dibenarkan jaminan sebanyak RM7,000 manakala Noor Azzly Hisham dan Jayashanthan masing-masing diberikan ikat jamin RM8,000 dan RM8,500. Kesemua tertuduh juga diperintahkan untuk melaporkan diri ke balai berdekatan sebulan sekali.

Pada prosiding sama, suspek kes bunuh berkenaan, Mohd. Hafeez didakwa membunuh Muhammad Umar Abdul Jalil, 38, di kondominium sama pada pukul 11.45 malam, 28 Jun lalu.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Tertuduh juga tidak diberikan sebarang jamin.

Pertuduhan terhadap lelaki berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak melebihi 40 tahun. Tertuduh juga boleh dikenakan sebat 12 kali sekiranya tidak dikenakan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Iman Nurhidayah Ezani. Kesemua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 September ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |