GUA MUSANG – Peruntukan tambahan sebanyak RM90 juta diperlukan untuk kerja-kerja menyiapkan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3B dan 3C dekat Taman Wangi di sini yang ketika ini tergendala buat sementara waktu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan itu termasuk pelantikan kontraktor baharu yang akan meneruskan projek LTU di Gua Musang.
Menurutnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah memohon peruntukan itu daripada Kementerian Ekonomi, namun setakat ini masih belum ada kata putus mengenai perkara tersebut.
“Kita sudah tamatkan kontraktor yang sebelum ini. Segala yang dijalankan mengikut prosedur kerana kita memerlukan RM90 juta tambahan lagi untuk siapkan projek LTU 3B dan 3C.
“Kita juga telah memohon peruntukan dengan Kementerian Ekonomi dan belum diputuskan lagi keputusannya. Kita harap dapat dipercepatkan supaya kontraktor baharu yang dilantik dapat siapkan projek ini dengan cepat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja Rasmi Ke Tapak Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C dekat Taman Wangi di sini hari ini.
Berdasarkan rekod, kos projek LTU untuk Seksyen 3B dan 3C dari Kilometer 180.5 FT08 ke Bulatan Gua Musang adalah berjumlah RM227.51 juta yang melibatkan pembinaan jalan baharu empat lorong dua hala dan dijadualkan siap pada Mac tahun lalu.
Dalam perkembangan sama, Alexander memberitahu, kerja menyelenggara atau kerja rutin seperti memotong rumput dan menampal lubang jalan sementara di kawasan projek LTU 3B dan 3C dekat Taman Wangi di sini sedang dilaksanakan.
Menurutnya, langkah sementara itu dilaksanakan oleh syarikat konsensi Roadcare (M) Sdn. Bhd. sebagai persediaan mengatasi kesesakan lalu lintas akibat pertambahan kenderaan pada musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina ini.
“Kita ambil maklum mengenai kesesakan lalu lintas yang berlaku di sepanjang hampir dua kilometer di jalan itu terutamanya ketika cuti musim perayaan dan sekolah.
“Jadi, kita elokkan jalan itu dahulu sebagai langkah sementara atau jangka masa pendek. Daripada aspek bajet, kita akan lihat dahulu keperluannya sebelum segala peruntukan diberikan,” katanya.
Tambahnya, bagi jangka panjang untuk projek LTU, skop kerja penyelengaraan secara turapan dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya selepas proses sebut harga pada Mac depan. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
6


![[VIDEO] ‘Kenapa aku nampak kepala terbang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-6.02.02-PM.jpeg)
![[VIDEO] Bergurau ketika solat, penghadang jatuh hempap budak hingga longlai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-5.58.44-PM.jpeg)



![[VIDEO] ‘Faizah…hiburkanlah saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-3.46.22-PM.jpeg)









































