Kilang haram punca pencemaran bau Sungai Semenyih

11 hours ago 5

SHAH ALAM – Kilang kitar semula plastik tanpa lesen di kawasan Perindustrian Mahkota Beranang dekat sini, dipercayai menjadi punca pencemaran bau Sungai Semenyih di sini semalam.

Pencemaran bau sehingga 10 ton itu dikesan kira-kira pukul 1.40 pagi oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, siasatan pasukan LUAS dan Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) mengesan punca bau abnormal tersebut adalah daripada aliran di Sungai Kabul yang terdapat Kawasan Perindustrian Mahkota Beranang berhampiran sungai tersebut.

Katanya, tindakan bersama agensi lain seperti Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Alam Sekitar, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kemudiannya menemukan punca daripada sebuah premis kitar semula plastik.

“Semakan LUAS dan agensi-agensi di premis terbabit menemukan bahan buangan daripada aktiviti kitar semula bahan plastik yang tumpah.

“Di samping itu, bahan-bahan seakan minyak di dalam Intermediate Bulk Container (IBC) yang terdedah dan tidak diselenggara dengan rapi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, LUAS telah segera mengarahkan premis berkenaan untuk memindahkan tong IBC di lokasi ke kawasan tertutup dan dikawal rapi.

Ujarnya, Pemberitahuan Bertulis di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 turut dikeluarkan kepada premis untuk menghentikan dan menutup aliran keluar daripada premis serta melakukan pembersihan sisa tumpahan tersebut di semua lokasi terlibat dengan serta-merta.

“Sebagai langkah kawalan, LUAS telah meletakkan enam beg yang bersamaan dengan 42 kilogram
Activated Carbon (AC) bagi tujuan nyah bau di aliran berkaitan.

“Pensampelan di lokasi -lokasi berkaitan telah diambil oleh LUAS dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut,” katanya.

Tambahnya, sebanyak empat pam dengan jumlah keseluruhan 616 juta liter sehari (JLH) air daripada projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) telah dipam ke muka sauk LRA Sungai Semenyih sebagai sumber air mentah alternatif kepada air sungai yang telah tercemar.

Selain itu, pelepasan air empangan Semenyih telah dilakukan sebanyak 360 JLH untuk membantu
peningkatan kadar pencairan di dalam sungai.

“Pemantauan secara intensif di Sungai Semenyih pada setiap 30 minit, pelepasan air daripada Empangan Semenyih telah membantu meningkatkan pencairan di Sungai Semenyih.

“Ia juga mempercepatkan trend penurunan bacaan bau bermula pukul 5.30 pagi sehingga pukul 4.30 petang semalam yang merekodkan bacaan bau pada 0 ton serta keadaan sungai adalah terkawal,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |