Kenduri kahwin anggota bomba bertukar majlis tahlil

6 hours ago 3

KOTA BHARU – Majlis perkahwinan seorang anggota bomba yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu ini, bertukar menjadi majlis tahlil apabila lelaki itu meninggal dunia, pagi tadi.

Allahyarham Mohd. Kasyfi Remali, 42, dijangka berkahwin buat kali kedua dengan bakal isterinya, Zabida Jusoh, 40, pada Sabtu ini di Kampung Pasir Kasar, Sering di sini.

Zabida berkata, bakal suaminya itu menghembuskan nafas di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, di sini akibat tiroid selepas menghidap angin ahmar dan darah tinggi.

Menurutnya, arwah meninggal dunia kira-kira pukul 11.57 pagi tadi selepas bertarung nyawa lebih 48 jam di HPUSM.

“Majlis akad nikah akan sepatutnya pada Jumaat ini dan semua persiapan sudah dibuat termasuk tempahan pelamin. Kenduri kahwin kami hanya dibuat sebelah pihak iaitu di rumah keluarga arwah pada Sabtu ini.

“Sebelum arwah masuk ke hospital, kami bersama-sama sempat membeli nasi di Kampung Pulau Belanga di sini kira-kira pukul 7.30 malam kelmarin. Dia mengadu pening kepala dan tidak boleh memandu kereta kerana tangan kirinya tiba-tiba lemah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Pasir Kasar, Sering, di sini hari ini.

Zabida berkata, arwah kemudian menjalani pembedahan membuang darah beku sebelum ditidurkan kerana bahagian otaknya bengkak.

Menurutnya, dia dan arwah kenal sejak empat bulan lalu malah pernah berjanji untuk bersama-sama menjaga empat orang anak termasuk seorang anaknya yang masih bersekolah.

“Arwah merupakan orang yang baik dan sering bercakap mengenai penjagaan anak. Saya reda dengan pemergian arwah walaupun tidak sempat hidup bersamanya,” katanya.

Sementara itu, kakak arwah, Afzan, 43, berkata semua persiapan untuk majlis kenduri sudah dibuat termasuk menumbangkan seekor lembu yang dibeli pada harga RM2,000.

“Semua kelengkapan yang dibeli itu akan digunakan untuk majlis tahlil. Jenazah arwah adik saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Sering di sini kira-kira pukul 5.30 petang tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |