Kenal dalam penjara, 4 bekas banduan tubuh geng curi kenderaan

3 hours ago 4

MELAKA – Tidak serik dihukum penjara, empat bekas banduan dipercayai bersekongkol menubuhkan geng curi kenderaan sebaik dibebaskan sebelum diberkas semula dalam satu operasi khas, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 32 tahun berjaya diberkas di Permatang Pasir, Alai pada 19 Mac lalu hasil siasatan berkaitan kes kecurian motosikal.

Katanya, hasil soal siasat keempat-empat lelaki tersebut mengakui mengenali antara satu sama lain dan berkomplot untuk melakukan jenayah curi ketika menjalani hukuman di Penjara Sungai Udang.

“Sebaik sahaja dibebaskan sekitar Oktober tahun lalu, mereka ini telah melakukan jenayah curi dan semakin aktif pada Januari tahun ini dengan terlibat dalam sekurang-kurangnya 12 kes jenayah.

“Ini termasuk tujuh kes curi motosikal, satu cubaan curi motosikal, satu kes curi van, satu kes samun, satu kes curi kereta serta dua kes pecah rumah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua suspek yang digelar ‘Geng Harraz’ menjalani hukuman penjara bagi pelbagai kes jenayah termasuk curi kenderaan, pecah rumah dan penyalahgunaan dadah.

Ujarnya, modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan motosikal jenis Yamaha 125ZR dan Honda EX5 di kawasan sekitar Kandang, Bemban, Banda Hilir, Tanjung Minyak dan beberapa kawasan sekitar Melaka Tengah.

“Dalam operasi itu, kita turut merampas enam buah motosikal pelbagai jenis, sebuah van Nissan Vannet serta peralatan khas yang digunakan untuk mencuri kenderaan dengan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM50,000,” katanya.

Christopher berkata, pihaknya sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai bertindak sebagai pembeli atau rangkaian sokongan kepada kumpulan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A, Seksyen 457 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kesemua suspek direman sehingga esok. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |