Kejadian angkat penyu bukan kali pertama

7 hours ago 4

KUANTAN – “Kejadian mengangkat penyu untuk dipaksa bertelur bukan kali pertama di sini, namun kali ini mereka lebih berani apabila melakukannya di depan orang ramai,” kata Ezza Ashilla Abdul Razak, 34.

Ezza Ashilla antara saksi yang melihat kejadian tiga lelaki mengangkat seekor penyu dipercayai spesis agar di Pantai Chendor dekat Cherating, di sini, pagi semalam yang tular di media sosial.

Menurutnya, kejadian itu berlaku di depan tapak perkhemahan dikendalinya kira-kira pukul 7 pagi ketika beberapa pengunjung sedang berkhemah di kawasan berkenaan.

“Sebaik sahaja penyu itu naik ke darat, mereka terus mengangkatnya namun selepas ditegur beberapa pengunjung di situ dan ramai yang merakam tindakan terbabit, akhirnya mereka lepaskan semula penyu berkenaan.

“Kejadian seperti ini bukan kali pertama, di sini ada ramai yang mencari telur penyu dan ada sebahagian mereka bertindak mengangkat penyu untuk dipaksa bertelur,” katanya.

Jelasnya, ‘perangai’ penyu jika naik ke darat untuk bertelur, ia tidak akan terus naik dan bertelur sebarangan sebaliknya ia akan mencari kawasan pasir yang sesuai.

“Ada kala ia akan berpusing di sekitar kawasan itu terlebih dahulu dan sengaja ‘meligan’ kawasan berkenaan untuk mengelak musuh mencuri telurnya.

“Ada sesetangah pencari telur penyu tidak sabar dan akan mengangkat penyu berkenaan sebelum meletakkannya di lubang yang sudah siap digali untuk memaksa penyu itu bertelur,” katanya.

Tambahnya, lebih kejam apabila ada yang mengangkat penyu itu ke dalam semak kira-kira 100 meter dari pantai untuk menyembunyikan tindakan mereka.

“Pernah berlaku ada yang jumpa penyu tersangkut di kawasan semak dipercayai ditinggalkan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Walaupun pernah ditegur sebelum ini namun kegiatan itu masih belarutan dan kami khuatir mereka bertindak agresif jika sering ditegur,” katanya.

Ezza Ashilla berkata, dia diberitahu harga telur penyu yang mahal boleh mencecah sehingga RM2 hingga RM5 sebiji menyebabkan golongan berkenaan sanggup bertindak agresif pada haiwan berkenaan. -KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |