KEBIMBANGAN terhadap perjalanan pelumba sensasi negara, Hakim Danish Ramli pada perlumbaan kelas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) akhirnya dileraikan apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) memberi jaminan akan terus berdiri di belakang bakat muda itu.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif menegaskan, pihaknya bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan membiarkan perjalanan karier Hakim Danish terganggu hanya kerana isu kewangan.
Menurutnya, walaupun pelumba berusia 18 tahun itu kini berstatus pelumba bergaji, namun kos perlumbaan, logistik dan yuran penyertaan masih memerlukan suntikan dana tambahan daripada penaja korporat.
“Tahun ini Hakim Danish adalah pelumba bergaji, bermakna dia sudah ada pendapatan sendiri. Tetapi kos kerusi, logistik dan pertandingan masih perlu ditanggung.
“SIC dan KBS akan terus menyokong, namun baki dana itu perlu datang daripada pihak korporat. Ketika ini kita menunggu keputusan penaja untuk mengumumkan sokongan kepada Hakim Danish,” katanya.
Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan Hakim Danish berdepan ketidaktentuan suntikan dana bagi menampung perjalanannya di kelas Moto3 biarpun sudah mengesahkan tempat bersama pasukan MT Helmets-MSI.
Shafriman menjelaskan, pihak pengurusan sedang berusaha memastikan pelumba Terengganu itu dapat beraksi sepanjang musim, malah menganggap isu dana sebagai cabaran tahunan dalam sukan permotoran.
“Insya-Allah kita akan usahakan. Bukan mudah untuk sampai ke tahap dapat berlumba semusim penuh. Kita bawa dia (Hakim) daripada program MiniGP sehingga dia layak berada di tahap ini.
“Setiap tahun memang kita bergelut dengan isu dana, ini bukan perkara baharu dalam dunia permotoran. Saya harap lebih ramai pihak tampil menyokong dan syarikat korporat di luar sana boleh berhubung dengan SIC atau ZK Racing membantu pelumba tempatan kita,” katanya.
Sementara itu, Hakim Danish tidak memikirkan masalah luar litar dan mahu memberi tumpuan menjelang aksi pembuka tirai 2026 di Grand Prix Thailand pada 27 hingga 1 Mac nanti.
“Saya hanya fikir pada perlumbaan dan mahu memberikan terbaik. Mengenai isu luar litar, saya hanya menyerahkan kepada ZK Racing untuk menyelesaikannya,” ujarnya.

22 hours ago
6



![[VIDEO] Buka pintu mengejut: Nahas babit enam kenderaan, dua cedera](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-5.57.13-PM-1.jpeg)








![[VIDEO] Gempar, pocong Kampung Parit Kasa akhirnya ditangkap](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-13.50.36.jpeg)




































