Kanak-kanak lemas ditarik gelombang bot nelayan ketika mandi pantai

22 hours ago 10

KUANTAN – Perkelahan keluarga di Pantai Muara Balok di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemukan lemas semalam.

Difahamkan semasa kejadian mangsa Nur Afia Ramadhannie Zolkurnain, 7, dipercayai sedang duduk di belakang ibu saudaranya yang sedang mandi sebelum ditarik gelombang bot nelayan yang lalu di kawasan itu.

Mangsa dipercayai hampir lemas kali pertama ketika sedang mandi pada pukul 3.30 petang tetapi diselamatkan oleh abangnya yang berusia 13 tahun sebelum mangsa turun semula mandi pada pukul 3.40 petang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, mangsa bersama ibu dan 14 saudara maranya beriadah di kawasan itu dengan mandi dan mencari kepah.

“Semasa mandi tiba-tiba ibu mangsa menyedari anak perempuannya telah tiada dan mencaru di kawasan sekitar namun tidak jumpa sebelum membuat laporan polis.

“Pada kira pukul 12.40 tengah malam mayat mangsa ditemui oleh pihak bomba pada jarak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan terhadap fizikal mangsa mendapati tiada kecederaan dan tiada unsur jenayah.

Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Razam Bin Taja Rahim berkata, seramai 15 anggota bomba bersama 11 anggota polis dan Angkatan Petahanan Awam (APM) melakukan operasi pencarian di sekitar kawasan lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa ditemui di tebing pasir pada jarak 1.5 kilometer dari tempat mangsa dikhuatiri lemas.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.59 pagi,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |