PUTRAJAYA – Penyertaan kanak-kanak istimewa, termasuk penghidap cerebral palsy, menjadi tumpuan utama pada Larian MAIWP 2026 apabila mereka turut dilepaskan secara simbolik, sekali gus menyampaikan mesej keterangkuman dan perpaduan yang menjadi teras penganjuran acara tersebut.
Acara larian yang memasuki edisi keempat itu menghimpunkan lebih 10,000 peserta dengan kategori 21 kilometer (km), 10km, 5km dan 3km sekali gus mengekalkan statusnya antara acara komuniti terbesar di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan OKU memberi makna tersendiri kepada penganjuran tahun ini.
“Alhamdulillah, tahun ini lebih 10,000 peserta mengambil bahagian dengan pelbagai kategori larian. Kita juga melepaskan golongan OKU sebagai simbol bahawa acara ini terbuka kepada semua,” katanya.
Menurut beliau, semangat kesukanan yang ditampilkan peserta daripada pelbagai latar belakang membuktikan sukan berupaya menjadi medium penyatuan masyarakat.
“Kita melihat penyertaan masyarakat pelbagai kaum serta peserta antarabangsa. Ini menunjukkan sukan mampu menyatukan kita atas dasar kemanusiaan dan perpaduan,” jelasnya.
Kehadiran mereka bukan sahaja menambah warna kepada acara, malah memperlihatkan sukan sebagai platform inklusif yang membuka ruang kepada semua untuk bergerak aktif tanpa batas.
“Penganjuran seperti ini bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi turut membawa mesej kebersamaan dan saling menghormati dalam masyarakat,” katanya yang ditemui pemberita di Dataran Putrajaya, hari ini.
Larian MAIWP menawarkan penyertaan merangkumi pelari elit, amatur, penjawat awam dan keluarga, menjadikannya acara yang menggabungkan elemen kecergasan dan interaksi komuniti dalam satu platform.
Dengan sambutan memberangsangkan setiap tahun, penganjur berhasrat menjadikan acara berkenaan sebagai platform tahunan untuk menggalakkan gaya hidup aktif sambil memperkukuh budaya sukan dalam kalangan masyarakat.KOSMO! ONLINE

15 hours ago
6



![[VIDEO] Buka pintu mengejut: Nahas babit enam kenderaan, dua cedera](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-5.57.13-PM-1.jpeg)







![[VIDEO] Gempar, pocong Kampung Parit Kasa akhirnya ditangkap](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-13.50.36.jpeg)





































