Kami pengamal bertauliah, bantu wanita capai ketenangan – eHati

6 hours ago 2

PETALING JAYA – Pengasas bersama program motivasi rumah tangga eHati menafikan dakwaan bahawa program tersebut telah memusatkan kehidupan kepada ‘diri sendiri’, sebaliknya menjelaskan modul-modul eHati adalah berlandaskan kasih sayang dan kepercayaan bahawa setiap hubungan perkahwinan dapat dipulihkan.

Pengasas bersama eHati, Diyana Tahir dan Rahim Shukor dalam satu kenyataan berkata, semua modul yang ditawarkan oleh syarikat itu berasaskan kaedah profesional seperti hipnoterapi, psikoterapi dan Neuro-Linguistic Programming (NLP) yang diolah secara teliti agar bersesuaian dengan nilai budaya tempatan.

“Kaedah urutan kami sebenarnya telah diadaptasi daripada gabungan ‘pelvic floor massage’ dan ‘Thai massage’, yang diolah agar sesuai dengan nilai tempatan serta tidak melibatkan unsur atau ritual agama lain,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menolak dakwaan bahawa mereka menggalakkan wanita mementingkan diri dan mengetepikan institusi perkahwinan.

Sebaliknya, eHati menegaskan program yang ditawarkan bertujuan membantu wanita yang berdepan tekanan atau trauma untuk membina semula keyakinan dan keharmonian rumah tangga.

“Kami tidak pernah menggalakkan peserta untuk tidak berkahwin atau tidak bersuami. Kami sentiasa menekankan pendekatan yang seimbang dengan niat membantu peserta memperbaiki hubungan, bukan menjauhkan diri daripada perkahwinan.

“Objektif kami tetap sama iaitu untuk membantu wanita mencapai ketenangan, menyayangi diri sendiri dan seterusnya memulihkan hubungan suami isteri yang goyah agar institusi kekeluargaan kembali utuh,” katanya.

Dalam pada itu, modul khas yang merangkumi topik kekeliruan tubuh dan cabaran emosi bersama pasangan hanya ditawarkan secara tertutup kepada mereka yang benar-benar memerlukan, dan tidak dibuka kepada umum.

Pihaknya juga memaklumkan program ini menawarkan sesi pemulihan trauma menerusi teknik seperti ‘breathwork’, ‘Trauma Release Exercise’ dan kaedah hipnoterapi yang bertujuan membantu wanita mencapai ketenangan dalaman secara berperingkat.

“Fokus kami adalah membantu wanita menangani tekanan hidup, belajar menyayangi diri dan memperbaiki hubungan, bukannya menyimpang daripada nilai agama atau budaya,” jelas kenyataan itu. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |