‘Kalau nak berpolitik jangan guna modal agama’

11 hours ago 3

PERPADUAN dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama merupakan asas penting bagi menjamin kestabilan dan kemajuan sesebuah negara termasuk Malaysia.

Namun begitu, isu sensitif bersifat perkauman, keagamaan dan institusi diraja (3R) yang kerap dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan elemen tersebut sedikit goyah dan membuka ruang kepada perpecahan dalam kalangan rakyat.

Sebagai respons terhadap situasi itu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengambil langkah proaktif untuk menilai dan memperkukuh perpaduan rakyat menerusi pelbagai pendekatan.

Justeru, bagi mengupas lebih lanjut mengenai isu perpaduan dan cabaran yang dihadapi untuk mengekalkan keharmonian kaum dan agama di Malaysia, wartawan Kosmo! Ahad, RIDZAUDDIN ROSLAN berpeluang menemu bual Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

AARON menjelaskan pihaknya sentiasa komited mendidik rakyat berkaitan isu 3R.

KOSMO! AHAD: Pada panda­ngan Datuk, adakah perpa­duan di negara ini semakin raput?
AARON: Sebagai Menteri Perpaduan Negara, saya ingin me­negaskan bahawa isu perpaduan nasional sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Madani dalam usaha membina negara yang bersatu padu, inklusif dan sejahtera.

Jadi untuk menilai secara objektif tahap perpaduan dalam kalangan rakyat, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) membangunkan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) iaitu satu-satunya indikator saintifik berasaskan data bagi mengukur tahap perpaduan dan keharmonian di Malaysia.

Kajian IPNas dijalankan sebanyak dua kali pada 2018 dan 2022. Skor menunjukkan pe­ningkatan positif daripada 0.567 (2018) kepada 0.629 (2022) iaitu sebanyak 6.25 peratus.
Ini jelas menunjukkan perpaduan di Malaysia berada pada tahap baik dan terkawal.

Apa peranan kerajaan dalam mendidik rakyat agar tidak termakan umpan pihak yang menunggang isu 3R?
Kita sentiasa komited mendidik dan memupuk kesedaran rakyat dalam isu 3R. Sebagai langkah strategik, Dasar Perpa­duan Negara (DPN) 2021-2030 digubal sebagai kerangka menyeluruh untuk memperkukuhkan perpaduan nasional.

Ia berasaskan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan serta mengangkat nilai-nilai kefahaman, hormat-menghormati dan penerimaan sebagai tonggak keharmonian negara.
Jadi, untuk mendekati rak­yat secara inklusif, pelbagai pendekatan berorientasikan komuniti dilaksanakan antaranya melalui Kembara Perpaduan Malaysia Madani.

Apakah langkah yang dilaksana bagi memastikan perpa­duan antara kaum terus terpelihara?
Kami bukan kementerian pe­nguatkuasaan, sebaliknya agensi sokongan yang membantu pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Majlis Ke­selamatan Negara dalam pengurusan isu perpaduan.

Kadang-kadang masyarakat tidak tahu tentang ini dan beranggapan kami boleh ambil tindakan ke atas isu perpaduan khususnya 3R.
Walaupun tiada kuasa ataupun peruntukan khas se­perti akta untuk bertindak dari segi perundangan, tapi kementerian melalui Jabatan Perpa­duan Negara berperanan penting dalam membantu mengurus isu perpaduan.

Antara mekanisme pengurusan isu perpaduan yang sedang dilaksanakan adalah pengesanan dan pemantauan isu perpaduan di peringkat akar umbi antaranya menerusi Sistem E-Sepakat.

Boleh Datuk jelaskan me­ngenai Sistem E-Sepakat?
Sistem E-Sepakat ini diperkenalkan sebagai mekanisme dalaman Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional untuk pengesanan, pemantauan dan pelaporan isu-isu perpaduan secara digital bagi menggantikan kaedah manual.

Ia merupakan pusat pengumpulan data utama bagi pengurusan isu perpaduan dan mempunyai tiga komponen utama yang merekodkan maklumat isu perpaduan seperti I-kes.

I-kes merekodkan isu perpa­duan yang telah berlaku, I-ramal (merekodkan isu yang dijangka berlaku) dan I-Mediator (pangkalan data Mediator Komuniti termasuk urusan pelantikan dan pelaporan kes mediasi).
Dashboard Analitik Perpa­duan pula menyokong sistem E-Sepakat dalam meningkatkan kecekapan gerak kerja pengurusan isu keharmonian masyarakat melalui pemetaan kawasan yang berisiko tinggi dan panas.

Apakah peranan Mediator Komuniti sebagai pendamai masyarakat?
Ia merupakan pendekatan alternatif dalam mengurus pertikaian atau perselisihan antara dua pihak dengan bantuan pihak ketiga atau orang tengah dikenali sebagai Mediator.

Perkhidmatan mediasi menjadi pilihan pihak yang bertelagah kerana pertikaian dapat diselesaikan tanpa melibatkan perundangan.
Mediator Komuniti memberi fokus dalam mengurus kes pertikaian di peringkat komuniti khususnya hal melibatkan jiran tetangga.

Skop perkhidmatan tertakluk kepada isu ketegangan antara kejiranan perumahan bandar, kampung atau kawasan strata.
Antara kes-kes yang berjaya dikendalikan adalah seperti isu perselisihan faham antara jiran, gangguan bunyi bising, kacau ganggu, sampah, haiwan liar, perselisihan berkaitan harta bersama (common property) dan sebagainya.

Isu Jalur Gemilang tidak lengkap dikaitkan dengan kaum tertentu, apa pandangan Datuk mengenai perkara ini?
Saya ingin menyatakan de­ngan jelas dan tegas bahawa Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, identiti dan maruah negara.

Sebarang kesilapan dalam penggunaan Jalur Gemilang adalah satu perkara yang amat serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Kementerian mengecam sekeras-kerasnya sebarang penyiaran atau paparan Jalur Gemilang yang tidak lengkap atau dimanipulasi secara cuai mahupun disengajakan.

Saya memberi amaran jika terdapat unsur sabotaj atau berniat jahat dalam hal ini, tindakan tegas harus diambil oleh pihak berkuasa.
Kita tidak berkompromi de­ngan mana-mana pihak yang cuba mencemarkan simbol negara atau memecahbelahkan rakyat melalui naratif yang sempit dan beracun.

Adakah terdapat keperluan untuk menggubal undang-undang khusus bagi menghukum pihak yang terlibat?
Kementerian Perpaduan Negara berpandangan tiada ke­perluan mendesak untuk menggubal undang-undang baharu, kerana undang-undang sedia ada sudah memadai untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang secara sengaja mengganggu gugat keharmonian antara kaum, agama dan wilayah di negara ini.

Apa yang diperlukan bukan lagi undang-undang baharu, tetapi penguatkuasaan yang lebih tegas, konsisten dan tanpa kompromi.

Ada yang meniup sentimen agama untuk menggugat ke­sejahteraan rakyat, bagaimana cara untuk atasinya?
Kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan meniup api permusuhan atas nama agama. Agama tidak boleh dijadikan alat politik, bahan hasutan atau senjata untuk memecah­belahkan rakyat.

Mereka yang menyalahgunakan agama untuk mencetuskan kebencian dan syak wasangka antara kaum dan kepercayaan, harus ditentang habis-habisan.

Malaysia dibina atas asas to­leransi, persefahaman dan kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Boleh Datuk jelaskan mengenai peranan Tadika Perpa­duan?
Ia diperkenalkan pada 1976 dan merupakan institusi pendidikan awal kanak-kanak yang mengembangkan potensi dan melahirkan murid yang mempunyai semangat cintakan negara serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seha­rian anak-anak seawal usia empat hingga enam tahun.

Sehingga kini, terdapat seramai 34,889 murid di 1,781 buah Tabika Perpaduan dan 41 Taska Perpaduan di seluruh negara.

Antara modul khusus yang diajar adalah Modul Pendidikan Rukun Negara.

Murid-murid diberikan pe­ngetahuan dan pemahaman tentang prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian dan meraikan kepelbagaian kaum dalam persekitaran mereka.

Read Entire Article
Pertanian | | | |