Jun Hao gagal saingi kehebatan Lanier

7 hours ago 4

PETALING JAYA – Langkah perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo tersekat seawal pusingan pertama selepas tewas kepada juara bertahan dari Perancis, Alex Lanier.

Pada perlawanan di Gimnasium Tokyo Metropolitan hari ini, pemain No. 24 dunia itu terpaksa akur apabila tewas menerusi aksi straight set 12-21, 14-21 dalam tempoh 40 minit.

Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen tanpa berselindung mengakui masih ada jurang dari segi kualiti permainan antara Jun Hao dan Lanier yang berada di ranking ke-8 dunia.

Katanya, Jun Hao tidak dapat mengeluarkan permainan sebenar bagi memberikan cabaran kepada Lanier selain kelihatan kurang selesa sepanjang perlawanan .

“Kita kurang konsisten untuk memberikan cabaran kepada corak permainan seperti ini. Saya agak risau kerana kita berdepan kesukaran untuk cuba membuatkan Lanier berada dalam keadaan tidak selesa.

“Leong (Jun Hao) sudah cuba yang terbaik tetapi tetap sukar kerana berdepan aksi (Lanier) yang tidak melakukan kesilapan selain memiliki semangat juang cukup tinggi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Jun Hao kini memiliki masa lebih kurang seminggu untuk melakukan persiapan menghadapi Terbuka China yang akan berlangsung di Changzhou pada 22 hingga 27 Julai ini.

Kekalahan itu juga memberikan Jonassen lebih bayangan terhadap kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki bagi mempersiapkan Jun Hao ke arah saingan Kejohanan Dunia di Paris, Perancis bulan depan.

“Sebelum kejohanan (Terbuka Jepun) ini, memang saya cuba mencari jawapan dalam persiapan ke Kejohanan Dunia. Hari ini (semalam) saya sudah dapat jawapan dan perjalanan kita masih jauh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |