JHEAIK pantau kubur 6 beranak elak perbuatan khurafat

14 hours ago 5

ALOR SETAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) akan menjalankan pemantauan berterusan di Tanah Perkuburan Islam Masjid At Taqwa, Jerlun yang menjadi lokasi pengebumian enam beranak lemas di Sungai Korok pada Isnin lalu.

Langkah itu diambil bagi memastikan kawasan perkuburan itu tidak dicemari dengan sebarang amalan khurafat atau perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Pengarah JHEAIK, Datuk Dr. Abd Ghani Zainuddin berkata, pemantauan itu susulan aduan yang diterima berkaitan kebimbangan berlakunya perbuatan tidak wajar di kawasan berkenaan.

“Pentadbiran Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu menerima maklumat berhubung kebimbangan masyarakat terhadap beberapa perkara yang mungkin berlaku di tanah perkuburan tersebut.

“Sehubungan itu, kita telah menggerakkan pemantau ke lokasi bagi membuat pemerhatian dari semasa ke semasa. Setakat ini, belum ada keperluan untuk memasang tali penghadang di sekitar kawasan perkuburan, namun tindakan lanjut akan diambil sekiranya ada sebarang pelanggaran syariah,” katanya di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan amalan khurafat atau perbuatan yang bercanggah dengan akidah.

“JHEAIK juga menyeru masyarakat setempat serta pihak masjid untuk sama-sama memainkan peranan dalam memantau dan mencegah sebarang unsur yang bertentangan dengan Islam,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan tanda tanya mengenai nasib sepasang suami isteri dan empat anak yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu terjawab selepas jasad mereka dijumpai 48 jam kemudian bersama kereta jenis Proton Iswara di dalam Sungai Korok Isnin lalu.

Mereka ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.

Lebih memilukan, ketika dijumpai pada pukul 9 pagi itu, enam beranak berada di tempat duduk belakang dan saling berpelukan. Mereka dipercayai cuba keluar untuk menyelamatkan diri, namun gagal.

Ketika kejadian, kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di rumah adik Mohamad Azim, Nur Adliah Syuhada, 26, di Taman Seri Aman, Jitra.

Anak sulung mangsa iaitu Putri Qisya Nur Izzat, 12, terselamat kerana berada di rumah neneknya di Jerlun ketika kejadian. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |