Jari patah, dapur meletup masa masak juadah raya

2 hours ago 4

PETALING JAYA – Kegembiraan sebuah keluarga menyambut Aidilfitri bertukar tragedi apabila dapur mudah alih yang digunakan meletup ketika mereka sedang menyediakan juadah raya, baru-baru ini.

Menurut perkongsian di Thread Aiman Razlyn, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga sedang menyiapkan hidangan roti jala di dapur rumah.

Katanya, akibat kejadian itu, lelaki berkenaan mengalami patah dua jari kaki selain turut menerima lebih 15 jahitan serta melecur ringan.

“Isteri melecur seluruh muka dan kedua-dua tangan, anak perempuan saya melecur kaki.

“Kami sekeluarga sekarang dalam proses pemulihan dari segi fizikal dan mental,” katanya.

Katanya apa yang menyedihkan ialah anaknya seolah-olah trauma apabila sentiasa mengalami mimpi mengenai kejadian itu manakala isterinya juga berada dalam keadaan sedih.

“Sebagai seorang ayah dan suami, sokongan moral dan kata-kata semangat untuk mereka harus diberikan untuk mereka menempuhi dugaan ini. Walaupun saya juga mengalami trauma, terima kasih sahabat atas doa-doa kalian untuk kami mengharungi dugaan yang mencabar ini,” katanya.

Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna melahirkan rasa simpati selain turut mendoakan agar keluarga tersebut segera sembuh dari kecederaan yang dialami.

“Semoga diberikan kesembuhan fizikal mental secepat mungkin untuk awak sekeluarga, amin,” kata Wafiqah.

“Dulu pernah kena dekat ‘home stay’, pemilik sediakan, tengah masak tiba-tiba berapi dari bawah. Cepat-cepat tolak ke sinki kebetulan dekat sebelah, terus buka paip simbah air. Tapi bulu roma dekat lengan terbakar jugalah,” kata Incik Nan.

“Semoga lekas-lekas baik semuanya tuan. Saya dlu pun pernah meletup juga tapi alhamdulillah tiada kejadian apa-apa cuma melecur sikit saja, memang pengalaman yang trauma sampai sekarang tak berani pakai,” kata Vyusyah.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |