PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) bersama pihak berkuasa negeri Selangor akan menjalankan siasatan terperinci berhubung isu sebuah program motivasi rumah tangga yang didakwa bercanggah dengan Islam.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap kebimbangan orang awam susulan penularan isu melibatkan pengajaran program berkenaan.
“Kita bersama pihak berkuasa agama negeri akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi memastikan maklumat diperoleh adalah jelas dan sahih sebelum sebarang tindakan yang wajar diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kerajaan Madani melalui Jakim secara konsisten bersama pihak berkuasa agama negeri tegas dalam menangani sebarang isu yang melibatkan kepentingan umat Islam khususnya berkaitan keharmonian institusi kekeluargaan, akhlak dan pemeliharaan nilai-nilai Islam.
“Usaha bersepadu ini juga adalah sebahagian daripada komitmen Jakim dan pihak berkuasa agama negeri-negeri dalam menangkis sebarang gejala dan anasir menyimpang serta pengaruh budaya songsang dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Sirajuddin, pihaknya turut menyeru seluruh rakyat khususnya umat Islam agar tidak terpengaruh dengan fahaman dan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam dan nilai budaya tempatan.
“Sehubungan itu, orang ramai disaran untuk sentiasa bekerjasama dengan Jakim dan pihak berkuasa agama negeri bagi menyalurkan maklumat serta informasi berkaitan isu-isu seperti ini dalam menangani sebarang unsur yang bercanggah dengan syarak,” katanya lagi.
Terdahulu, seorang wanita atau dikenali sebagai Masyitah Ashari memuat naik satu hantaran dalam akaun Facebook miliknya mengenai satu program motivasi dan bimbingan rumah tangga dikatakan dikendalikan sepasang suami isteri didakwa menyebarkan ajaran sesat yang menyasarkan kaum hawa bekerjaya dan berdepan krisis rumah tangga.
Bekas ahli program itu menerusi akaun Facebooknya mendedahkan, ajaran itu dikatakan berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi kepada wanita.
Tambahnya, pasangan terbabit didakwa mengamalkan ajaran batin yang menyesatkan dan turut menjadikan buku Hindu sebagai rujukan kepada peserta program menerusi platform Telegram. – KOSMO! ONLINE