KUALA LUMPUR – ASEAN dan Turkiye mesti menuntut Israel dipertanggungjawabkan kerana berterusan melanggar undang-undang antarabangsa.
Menteri Luar, Mohamad Hasan berkata, tiada tindakan dikenakan menggalakkan Israel untuk menyerang negara lain dan keadaan itu akan mengganggu kestabilan rantau ini.
“Sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang berprinsip dan bertanggungjawab, kita harus bersama-sama menyuarakan keperluan menyelesaikan konflik di seluruh dunia secara aman dan adil termasuk situasi genting di Gaza.
“Malaysia percaya nilai-nilai yang dikongsi oleh ASEAN dan Turkiye menjadikan kedua-duanya sebagai rakan semula jadi dalam memperjuangkan multilateralisme, keamanan, kestabilan, kemakmuran, kesaksamaan, keadilan dan kemanusiaan di pentas global,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Tiga Hala antara Malaysia, Turkiye dan Sekretariat ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Mohamad berkata, hubungan ASEAN dan Turkiye terus berkembang berlandaskan matlamat bersama untuk keamanan, ketahanan ekonomi dan hubungan rakyat dengan rakyat.
Ujar beliau, ASEAN dan Turkiye berdiri di atas asas kerjasama yang kukuh termasuk dalam bidang politik dan keselamatan, perdagangan dan ekonomi digital, pendidikan, pengurusan bencana dan pembangunan mampan.
Kata beliau, bagi mengukuhkan lagi perkongsian tersebut, Malaysia mengalu-alukan peluasan kerjasama dalam industri pertahanan serta pemindahan teknologi.
“Hubungan ekonomi kita dijangka akan terus berkembang dengan adanya kerjasama melalui Forum Perniagaan dan Pelaburan Turkiye-ASEAN serta sokongan kepada pembangunan PKS dan perkongsian inovasi.
“Pengalaman Turkiye dalam bidang tadbir urus digital boleh menjadi sumber kepakaran yang berharga dalam memajukan integrasi digital, mempelbagaikan rantaian bekalan, dan membina ketahanan bersama, serta membantu kita mengharungi cabaran geo-ekonomi semasa,” katanya.
Tambah beliau, daripada segi sosio-budaya pula, inisiatif seperti Program Biasiswa Bersama Turkiye-ASEAN, latihan untuk diplomat ASEAN dan cadangan kerjasama dalam pendidikan teknikal dan vokasional serta pembangunan kemahiran digital akan mengukuhkan lagi hubungan. – KOSMO! ONLINE