GAMBARAN tentang paparan tiga dimensi (3D) atau hologram yang boleh disentuh sudah menjadi kebiasaan dalam filem-filem sains fiksyen seperti Iron Man.
Namun, realitinya ia hanyalah satu rekaan penceritaan di layar perak yang mencipta satu imaginasi dunia canggih masa depan.
Bagaimanapun, sekumpulan penyelidik dari Universiti Awam Navarra (UPNA), Sepanyol, telah berjaya menjadikan inovasi itu sebagai satu realiti sekali gus menjadi yang pertama dilakukan di dunia.
Mereka telah mencipta pancaran hologram yang membolehkan interaksi semula jadi menggunakan tangan dengan objek maya, hasil gabungan penyebar elastik dan sistem unjuran berkelajuan tinggi.
Menurut ketua projek yang juga ahli Institut Bandar Pintar (Institute of Smart Cities), Dr. Elodie Bouzbib, inovasi ini membolehkan pengguna berinteraksi dengan grafik 3D secara semula jadi.
Sebagai contoh, memegang objek maya seperti kiub menggunakan jari telunjuk dan ibu jari untuk menggerakkannya, memutarkannya atau mensimulasikan pergerakan kaki berjalan menggunakan jari.
“Apa yang kita lihat dalam filem dan sering dipanggil sebagai hologram sebenarnya adalah paparan volumetrik.
“Ia merujuk kepada grafik yang kelihatan tergantung di udara dan boleh dilihat dari pelbagai sudut tanpa perlu memakai cermin mata realiti maya. Inilah yang dipanggil grafik 3D sebenar,” katanya memetik artikel di portal Interesting Engineering.

Paparan sebegitu amat menarik kerana membolehkan manusia berinteraksi dengan hologram. Pengguna cuma perlu mendekati peranti dan terus gunakannya tanpa sebarang peralatan tambahan.
Projek ini dijalankan bersama pasukan penyelidik Losune Sarasate, Unai Fernández, Manuel López-Amo, Iván Fernández, Iñigo Ezcurdia dan Asier Marzo.
Pasukan penyelidik menyatakan terdapat beberapa prototaip paparan volumetrik di pasaran seperti yang dibangunkan oleh Voxon Photonics atau Brightvox Inc.
Namun, tiada satu pun daripadanya yang membenarkan interaksi langsung dengan hologram tersebut.
“Interaksi langsung itu bermaksud kita boleh memasukkan tangan ke dalam grafik 3D dan ‘memegang’ atau ‘menarik’ objek maya pada hologram tersebut.
“Seperti kita terbiasa menyentuh skrin telefon untuk menekan butang atau mengalih fail, interaksi sebegini adalah naluri manusia,” ujar salah seorang penyelidik Asier Marzo.
Katanya lagi, projek ini membolehkan manusia menggunakan naluri semula jadi tersebut pada grafik 3D, sekali gus memanfaatkan kebolehan semula jadi mereka dalam melihat dan memanipulasi objek dalam 3D.
Inovasi ini lahir daripada projek InteVol yang diterajui UPNA dan dibiayai oleh Majlis Penyelidikan Eropah (ERC). ERC menyokong penyelidikan berimpak tinggi di seluruh Kesatuan Eropah.
Terangnya, paparan volumetrik ini menggunakan sehelai helaian penyebar (diffuser) yang berayun dengan pantas.
Sistem unjuran berkelajuan tinggi (2,880 imej sesaat) memaparkan grafik pada helaian itu dalam pelbagai ketinggian.

Memanfaatkan fenomena ‘kekalan penglihatan’ (persistence of vision), mata manusia akan menggabungkan imej-imej itu menjadi satu volum 3D lengkap yang terapung di udara.
Namun, terdapat cabaran besar dalam pelaksanaan teknologi ini kerana masalah utama ialah kebanyakan helaian penyebar bersifat keras dan jika terkena tangan semasa berayun, ia boleh rosak atau mencederakan pengguna.
Bagi mengatasi isu ini, mereka menggantikan helaian keras dengan bahan elastik yang lebih selamat untuk disentuh.
Namun begitu, bahan elastik mudah berubah bentuk dan ini menuntut pembetulan visual tambahan agar imej 3D kekal tepat.
Penyelidik juga telah menguji pelbagai bahan dari segi sifat optik dan mekanikalnya bagi mencapai hasil terbaik.

Kata mereka lagi, paparan seperti skrin dan peranti mudah alih telah menjadi sebahagian daripada hidup manusia dalam kerja, pembelajaran dan hiburan.
Jika grafik 3D boleh dimanipulasi secara langsung, ia boleh digunakan dalam pendidikan, contohnya, untuk melihat dan menyusun komponen enjin dengan lebih mudah dan intuitif.
“Sistem ini membolehkan pelbagai pengguna berinteraksi secara serentak tanpa memerlukan alat seperti headset realiti maya.
“Ia menjadikan teknologi ini sangat berguna untuk tempat awam seperti muzium, pengunjung hanya perlu menghampiri paparan untuk melihat dan berinteraksi secara langsung dengan kandungan,” tambah Marzo.
Kongsinya lagi, dalam bidang perubatan, doktor boleh menggunakan hologram boleh disentuh untuk melatih prosedur pembedahan dalam persekitaran maya yang realistik.
Pelajar boleh belajar anatomi dengan ‘menyentuh’ organ holografik sekali gus membantu mereka memahami struktur tubuh manusia dengan lebih mendalam.
Bagi sektor permainan video dan hiburan, pengalaman pemain bakal berubah secara drastik. Dengan sentuhan realistik terhadap objek maya, pemain boleh benar-benar ‘merasakan’ suasana dunia maya, meningkatkan lagi aspek imersif.
Terangnya, keistimewaan teknologi ini tidak terhenti kepada penggunaan individu sahaja tetapi sistem ini membolehkan beberapa orang pengguna berinteraksi secara serentak dengan paparan 3D tanpa memerlukan sebarang peranti seperti headset VR.
Ciri ini menjadikannya sesuai untuk digunakan dalam persekitaran kolaboratif dan membantu menjadikan penyampaian maklumat boleh dilakukan secara lebih terperinci.
Dalam pada itu, profesor neurosains kognitif dan realiti maya dari University of Barcelona, Dr. Mel Slater berkongsi, pengenalan kepada hologram boleh disentuh menandakan satu lagi pencapaian besar dalam fasa pembangunan realiti lanjutan.
Ia membawa manusia selangkah lebih dekat kepada dunia digital yang benar-benar bersifat ‘immersive’ iaitu sempadan antara nyata dan maya menjadi semakin kabur.
“Teknologi ini bukan sahaja memanfaatkan aspek keseronokan dan hiburan, tetapi juga berpotensi mengurangkan jurang dalam pendidikan, kesihatan dan komunikasi global terutama dalam era pascapandemik yang memerlukan interaksi jarak jauh tetapi tetap mendalam dari segi deria.
“Teknologi sebegini mempunyai kuasa untuk mentransformasikan cara kita bekerja, belajar dan berhubung, namun kita juga harus berhati-hati dalam membangunkannya dengan bertanggungjawab agar benar-benar beri manfaat kepada manusia sejagat,” jelasnya.
Dengan perkembangan pesat dalam bidang kejuruteraan haptik, kecerdasan buatan dan penciptaan dunia digital, masa depan hologram boleh disentuh bukan lagi sekadar mimpi sains fiksyen tetapi kini sedang terbentuk di depan mata manusia.