‘Ini juga takdir, saya sudah bercerai Mei lalu’

16 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Teka-teki terjawab, rumah tangga penyanyi Hafiz Suip akhirnya bernoktah apabila mengesahkan sudah bercerai talak satu dengan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 29 Mei lalu.

Menurut Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, perpisahan tersebut berlaku disebabkan tiada lagi persefahaman antara mereka namun menegaskan hubungannya dengan bekas isteri kekal baik.

“Menjawab status, saya sudah bercerai talak satu dengan isteri pada 29 Mei lalu. Hak penjagaan anak-anak milik bekas isteri.

“Saya rasa individu yang paling layak untuk mengambil penjagaan anak-anak adalah ibu. Kalau kita nak lawan fasal hak ini sampai bila pun tak akan habis, lebih baik berdamai sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis sesi ramah mesra bersama media di Bienz KL, di sini semalam.

Penyanyi Awan Nano itu juga bertegas, sudah berusaha tidak merumitkan keadaan atau merosakkan hubungan dengan bekas isteri berkaitan isu penjagaan anak-anaknya.

“Ya Allah, tipu kalau saya tidak ingat atau fikirkan tentang anak. Memang sentiasa nak hubungi tetapi mereka juga perlu bersekolah dan ada jadual sendiri.

“Sekarang saya dan bekas isteri masih dalam proses perbincangan tentang urusan anak-anak termasuk perancangan sebulan sekali saya mungkin akan ke Kuala Lumpur berjumpa dengan mereka.

“Saya tak mahu menimbulkan sebarang isu. Cukuplah turun naik mahkamah tempoh hari untuk urusan perceraian. Penat,” katanya yang kini menetap di Kuching, Sarawak.

Meski rumah tangga yang dibina musnah, dia bagaimanapun dia reda berdepan dengan setiap ujian yang memberinya pengajaran terbesar dalam hidup.

“Saya tidak menyesal dengan semua yang berlaku dan anggap semua ini pengajaran serta pengalaman. Saya doakan yang terbaik untuk bekas isteri.

“Perceraian ini juga satu takdir, kita hanya perlu jalani kehidupan seterusnya. Jangan saling menyalahkan kerana hati tidak akan rasa tenang.

“Dalam Islam juga ajar kalau nak rasa tenang, perlu berdamai dengan takdir. Nasihat saya kalau nak kahwin, kena fikir masak-masak dan bersikap matang,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, dia bakal muncul dengan konsert solo pertamanya, Di Sebalik Aku: Hafiz Suip yang bakal berlangsung di MegaStar Arena pada 1 November depan.

Tiket konsert anjuran SAH Entertainment itu boleh mula dibeli hari ini menerusi laman web Ticketmelon.

Harga tiket konsert tersebut bermula dengan harga RM188 bagi kategori Matahari, RM288 (Ku Akui), RM388 (Ombak Rindu), RM488 (Takdir Tercipta), RM588 (Awan Nano) dan RM788 (Bahagiamu Deritaku).

Terdahulu, Hafiz mendirikan rumah tangga dengan Nureffy pada 14 Mei 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhamamd Alkaf Zayne, 5 tahun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |