Influenza: Pelajar digalak pakai pelitup muka, cegah jangkitan selepas cuti

2 weeks ago 19

GEORGE TOWN – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang menggalakan pemakaian pelitup muka dalam kalangan pelajar terutama calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika berada di ruang terbuka sepanjang cuti perayaan Deepavali, bermula Isnin ini.

Pengarahnya, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, pihaknya komited dalam menangani situasi influenza di seluruh sekolah negeri ini dengan mengadakan sesi libat urus bersama pengetua dan guru besar.

Menurutnya, ia sebagai langkah persediaan bagi mengelak kemungkinan berlaku jangkitan virus kepada pelajar apabila mereka kembali semula ke sekolah nanti.

“Memandangkan cuti persekolahan bermula minggu depan, kita bimbang apabila pelajar datang semula ke sekolah selepas cuti ini, kemungkinan jangkitan virus itu berlaku apabila pertembungan semasa perayaan.

“Oleh demikian, kita menggalakkan anak-anak memakai penutup muka ketika berada di ruang terbuka untuk mengelakkan jangkitan influenza dan kita juga harap langkah-langkah pencegahan awal itu dibuat oleh ibu bapa termasuk pengesanan awal jika ada tanda-tanda jangkitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir ke Majlis Sanjungan Budi Anta Permana sempena persaraan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, Zaharah Abdullah di sini sekolah berkenaan, hari ini.

Dalam pada itu, katanya lagi, pihaknya juga turut mengingatkan kepada pelajar terutama calon SPM supaya menitikberatkan penjagaan kesihatan bagi mengelak jangkitan influenza yang boleh menjejaskan persediaan kembali ke sekolah nanti.

“Kita kena beringat untuk mengelakkan jangkitan yang mungkin boleh menjejaskan persediaan kita ke sekolah, lebih-lebih lagi anak-anak calon SPM yang tak sampai sebulan untuk menghadapi ujian mendengar, ujian amali dan seterusnya ujian bertulis.

“Jadi, kita nak anak-anak kita bersedia secukupnya untuk menghadapi peperiksaan SPM nanti,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, setakat ini belum terdapat sekolah di negeri ini melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) susulan penularan jangkitan influenza dalam kalangan pelajar.

“Hanya kita membenarkan murid-murid yang ada simptom sahaja untuk balik ke rumah dan menjalani kuarantin di rumah,” tambahnya.

Selasa lalu, media melaporkan jumlah kluster jangkitan influenza di Pulau Pinang meningkat kepada keseluruhan 36 kluster sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 41/2025. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |