Hujan lebat di Beijing ragut 30 nyawa

14 hours ago 5

BEIJING – Hujan lebat di ibu negara China,  Beijing mengorbankan 30 orang dan memaksa  pihak berkuasa memindahkan 80,000 penduduk, lapor media pemerintah hari ini.

Ribut dan hujan melanda sebahagian besar utara China minggu ini, termasuk Beijing dan wilayah Hebei, Jilin serta Shandong.

Sehingga tengah malam semalam, ‘hujan lebat telah meragut 30 nyawa di Beijing,’ kata agensi berita Xinhua, memetik kenyataan ibu pejabat kawalan banjir bandar raya itu.

Di Beijing sahaja, lebih 80,000 orang telah dipindahkan, kata akhbar Beijing Daily.

Menurutnya, ‘hujan lebat ekstrem yang berterusan menyebabkan bencana besar’.

Angka kematian tertinggi adalah di Miyun iaitu sebuah daerah pinggir bandar di timur laut Beijing.

Turut terjejas teruk daerah Huairou di utara dan Fangshan di barat daya Beijing.

Berpuluh-puluh jalan ditutup dan lebih 130 kampung terputus bekalan elektrik.

“Sila beri perhatian kepada ramalan dan amaran cuaca dan jangan pergi ke kawasan berisiko kecuali jika perlu,” demikian menurut nasihat Beijing Daily.

Dalam pada itu, Presiden Xi Jinping menggesa pihak berkuasa untuk mempercepatkan penempatan semula penduduk di kawasan terancam banjir.

Pemerintah memperuntukkan bantuan bencana berjumlah 350 juta yuan(RM206.5 juta) untuk sembilan wilayah yang dilanda hujan lebat, kata penyiar kerajaan,  CCTV hari ini.

Ia termasuk  Beijing, Tianjin, Hebei, Shanxi, Shaanxi, Inner Mongolia, Jilin, Shandong dan Guangdong.

Pada tahun 2023, hujan lebat mengorbankan lebih 80 orang di seluruh utara dan timur laut China, termasuk sekurang-kurangnya 29 orang di Hebei di mana banjir teruk memusnahkan rumah dan ladang tanaman. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |