AKSI kurang konsisten selain mudah hilang fokus menjadi punca utama skuad sepak takraw kebangsaan terus kempunan untuk menamatkan kemarau kemenangan selama 34 tahun ke atas Thailand dalam acara regu berpasukan sejak 1991.
Pada perlawanan akhir Piala Raja Thai 2025 di Hatyai kelmarin, pasukan negara sekali lagi terpaksa akur tewas dengan keputusan 0-2 biarpun beraksi garang di awal saingan.
Ketua jurulatih pasukan sepak takraw kebangsaan, Ahmad Jais Baharun mengakui, anak-anak buahnya memiliki peluang untuk membenam skuad Gajah Perang itu sekiranya kekal fokus dalam setiap set permainan.
Bagaimanapun, kesilapan demi kesilapan yang dilakukan pemain negara membuka ruang buat Thailand mendapatkan momentum, sekali gus membolehkan mereka menguasai sepenuhnya aksi final itu.
“Kalau lihat prestasi pasukan, kita memulakan perlawanan dengan agak konsisten dari segi serangan, pertahanan dan kawalan tetapi kita mula gagal menyerap tekanan apabila memasuki fasa pertengahan permainan.
“Kedua-dua regu bermain baik tetapi apabila Thailand menyamakan kedudukan, pemain mula tertekan dan hilang keyakinan untuk menekan lawan. Kita juga banyak melakukan kesilapan mudah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Regu pertama negara yang dibarisi tekong, Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin (apit kanan) dan Norfaizzul Razak (apit kiri) tewas 15-12, 15-12 kepada Pornthep Tinbangbon (tekong), Sankhai Daoreang (apit kanan) dan Marukin Phanmakon (apit kiri).
Percubaan Malaysia untuk menyamakan kedudukan menerusi regu kedua yang dibarisi Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) juga gagal menyaingi kehebatan Thailand.
Regu kedua tuan rumah yang diwakili Siriwat Sakha (tekong), Thawisak Thongsai (apit kanan) dan Rachan Viphan (apit kiri) tidak berdepan masalah apabila menang mudah 17-16, 15-4.
“Kita ada potensi untuk capai kemenangan sekiranya bermain secara konsisten sejak awal hingga ke akhir perlawanan, namun jurang dengan Thailand menyebabkan kita mudah buat kesilapan,” ujar Ahmad Jais. – KOSMO! ONLINE