SEREMBAN – Seorang ibu tunggal menjalani takdir hidup yang berbeza apabila diuji dengan kehilangan punca pendapatan tetapi dikurniakan anak-anak bijak hingga berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Mazura Mohd. Noor, 52, berkata, kehidupan mereka sekeluarga berubah ketika pandemik Covid-19 selepas syarikat antarabangsa tempat dia bekerja di bahagian akaun menutup operasi dengan semua pekerja terpaksa diberhentikan.
Katanya, ketika bekerja, dia berulang alik dari kampung di Rantau di sini ke Kuala Lumpur selepas bercerai dengan suaminya.
“Tidak lama kemudian, ibu, Sitam Ibrahim, 97, terlantar sakit dan meninggal dunia. Ketika menjaga arwah ibu saya terpaksa berhenti kerja dan bergantung pada simpanan.
“Mujur saya dapat pencen polis arwah bapa dan dengan duit itulah saya gunakan untuk menampung hidup bersama empat anak berusia antara 15 hingga 20 tahun,” katanya ketika ditemui di Kampung Siliau di sini baru-baru ini.
Menurut Mazura, dia mendapat bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) selain bekerja di sebuah kedai milik rakannya untuk meneruskan kehidupan.
Tambahnya, dia berharap kesemua anaknya dapat menyambung pelajaran ke universiti awam.
“Anak kedua, Muhammad Fiqri Mohd Rifizahairil, 18, dapat sambung pelajaran di Universiti Malaya Ahad ini selepas mendapat keputusan cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya.
Ujar Mazura, anaknya sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said.
“Saya memang nak anak-anak saya berjaya, itulah hadiah paling besar untuk saya dan untuk ubah nasib keluarga. Alhamdulillah, anak sulung saya, Nurfateha, 20, kini melanjutkan pelajaran di
Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang perakaunan serta mendapat biasiswa daripada kerajaan,” katanya.
Menurut Mazura, selepas anaknya mendaftar, dia akan berusaha mencari modal untuk memulakan perniagaan kiosk tidak lama lagi di pekan Rantau.
Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan boleh menghulurkan ke akaun Maybank 164717165748 milik Mazura.