Helikopter terhempas: Anak ‘call’ ayah minta doa diselamatkan sebelum terbang

4 hours ago 3

JOHOR BAHRU – Salah seorang pegawai polis yang terlibat dalam kejadian helikopter terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah semalam sempat meminta doa daripada bapanya agar perjalanannya selamat.

Baharom Mohammed, 82, berkata, anaknya, Superintenden Ahmad Bustamin Baharom menghubunginya awal pagi semalam dan memaklumkan akan menaiki helikopter.

“Jadi saya pun kata ya akan doakan untuk dia. Kemudian tidak berapa lama kemudian saya terima satu lagi panggilan telefon memaklumkan helikopter dinaiki anak saya bersama empat individu lain telah terhempas.

“Memang terkejut, tetapi Alhamdulillah dia selamat. Tengok keadaan rakan dia ada lagi teruk, kami sekeluarga doakan yang baik-baik untuk mereka semua,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Hospital Sultanah Aminah, di sini hari ini.

Tambah pesara pengetua dari Alor Setar itu lagi, dia sekeluarga bertolak dari Kedah pada pukul 10 malam semalam, sebelum tiba di Johor Bahru pada pukul 8 pagi tadi.

“Keadaan dia kelihatan semakin baik, cuma bahagian muka bengkak, tulang rusuk patah serta kaki kebas. Alhamdulillah dia pakai helmet dan mempunyai latihan untuk berdepan situasi sedemikian.

“Difahamkan dia mangsa pertama yang keluar daripada helikopter itu, sementara ada antara rakannya yang telah pengsan ketika kejadian,” ujar bapa kepada lima anak itu.

Tambah Baharom, Ahmad Bustamin mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2005 selain telah berumahtangga dan mempunyai empat orang anak berusia antara 9 hingga 16 tahun.

Semalam, Kosmo! melaporkan helikopter jenis AS355N yang menyertai helikopter jenis AS355N, nombor pendaftaran 9M-PHG milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas ketika melakukan Latihan Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025) di sini semalam.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kejadian berkenaan berlaku sekitar pukul 10.25 pagi.

“Helikopter tersebut berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi dan kemalangan dilaporkan berlaku di kawasan Jeti Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Gelang Patah.

“Mangsa melibatkan dua pegawai kanan dan tiga anggota termasuk juruterbang dari Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman serta anggota dari Balai Polis Tanjung Kupang,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |