SKUAD Harimau Malaya mampu berada dalam kelompok 100 terbaik dunia dalam tempoh tiga tahun lagi sekiranya berjaya meneruskan momentum yang dicipta pengurusan revolusi pasukan kebangsaan ketika ini.
Pandangan itu disuarakan oleh Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang percaya impian tersebut bukan sahaja ‘cakap-cakap kosong’ tetapi sudah mula menuai hasil.
“Jika semua pihak berganding bahu dan memberikan sokongan, saya percaya tidak mustahil untuk kita berada dalam kelompok 100 terbaik dunia dalam dua atau tiga tahun lagi.
“Namun, usaha itu perlu konsisten kerana negara-negara lain juga sedang giat memperkukuhkan pasukan masing-masing.
“Perancangan berterusan sangat penting untuk memastikan Harimau Malaya kekal kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sebagai rekod, pasukan negara kendalian Peter Cklamovski meraih posisi ranking terbaik dalam tempoh 19 tahun apabila berada di kedudukan ke-125 ketika ini.
Mengulas lanjut, Hamidin yang juga Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) turut percaya pasukan tidak boleh selesa sebaliknya terus bekerja keras dalam memacu fasa revolusi ke tahap lebih tinggi
“Saya kira semua peminat sudah faham tentang revolusi baharu ini. Apa yang penting, kita sebagai rakyat Malaysia perlu terus menyokong pasukan kebangsaan agar kejayaan lebih besar dapat dicapai.
“Kita semua mengimpikan pencapaian lebih cemerlang berbanding sekarang. Jadi, kita tidak boleh selesa dan mesti terus berubah dan mencari formula lebih baik untuk meningkatkan prestasi pasukan. Kalau tidak, kita akan kembali merosot,” katanya.
Kali terakhir skuad negara berada dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia adalah pada Oktober 2003 dengan Harimau Malaya berada di kedudukan ke-99.
Peningkatan pasukan kebangsaan ketika ini dilihat cukup mendadak dalam tujuh tahun terakhir apabila pernah berada di zaman ‘gelap’ apabila menduduki ranking ke-178 dunia pada Mac 2018.
Berdasarkan prestasi semasa, skuad kebangsaan dijangka tidak mempunyai masalah untuk terus mengutip mata ranking yang tinggi terutama apabila bakal mengharungi tiga lagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada tahun ini.