KUALA LUMPUR – Didakwa menyorokkan kehamilan, pasangan sensasi, Fattah Amin dan Amira Othman mengakui masih memerlukan masa untuk berkongsi sebarang berita gembira.
Fattah atau nama lengkapnya, Abdul Fattah Mohd. Amin, 35, berkata mereka menghargai keprihatinan ramai yang sangat memahami serta menghormati ruang peribadinya bersama isteri.
“Macam yang kami cakap sebelum ini, insya-Allah masa itu akan tiba jua. Sama ada cepat atau lambat, masa itu akan sampai jika kami sudah bersedia untuk berkongsi nanti.
“Jangan risau kita takkan sorok benda baik. Cuma sekarang belum sampai waktu lagi. Harap bersabar. Semoga peminat dan rakan-rakan media mendoakan yang baik-baik,” katanya ketika ditemui di Majlis RumahTerbuka Seri Syawal Usanita, semalam.
Bergandingan dengan isteri memeriahkan acara, kelibat Amira yang mengenakan jubah rona gelap dan longgar mengundang perhatian jemputan lain.
Sebelum ini, kekerapan wanita itu menggayakan busana longgar merancakkan lagi desas-desus dirinya sudah berbadan dua.
Mengulas pula pujian peminat mengenai wajahnya yang lebih berseri-seri, Fattah bersyukur refleksi tersebut adalah disebabkan melalui kehidupan indah bersama isteri.
“Alhamdulillah kalau tengok dari segi fizikal nampak sihat, ‘glowing’. Kalau yang baik-baik itu keluar daripada mulut mereka, tak kisah di platform mana kami ucapkan terima kasih
“Teruskan doa yang baik-baik, cakap yang baik-baik kepada kami,” ujarnya.
Sementara itu, Amira pula positif menjawab spekulasi kehamilan itu kerana perkara seperti itu merupakan adalah lumrah sebagai selebriti terutama selepas berkahwin.
“Rasanya saya sudah banyak kali kongsi jawapan sama. Kalau masa solo orang nak tahu bila nak kahwin. Sudah kahwin pula orang nak tahu berita gembira lain.
“Spekulasi adat untuk kita sebagai anak seni. Cuma kalau ada benda baik saya akan kongsi. Jika saya pilih enggan komen, pastinya kami sudah fikirkan apa yang terbaik dan waktu bila nak berkongsi.
“Saya yakin orang ramai semua faham. Mereka pun menghormati keputusan enggan kongsi hal tertentu atas sebab tersendiri,” katanya.
Terdahulu, spekulasi kehamilan Amira mula bertebaran sejak Ogos 2025 apabila pelakon serta penyanyi itu dimasukkan ke hospital akibat demam.
Pasangan terbabit disatukan dalam majlis pernikahan di Golden Palm Tree Resort, Sepang pada 14 September tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
5












![[VIDEO] Ada 6 lagi dapat 11A, doakan kawan-kawan saya juga – Fakhrul Iman](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/WhatsApp-Image-2026-04-02-at-10.23.27-PM.jpeg)


![[KEMAS KINI] Tiga sekeluarga maut, dua parah kemalangan tiga kenderaan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/f0f989eb-d1fe-48e5-ba1a-2ecfc6d9ccdb.jpeg)

































