Hakim Danish buru podium utama Le Mans

9 hours ago 4

PELUMBA berbakat negara, Hakim Danish Ramli bakal meneruskan jadual padatnya apabila kembali beraksi dalam saingan Pusingan Kedua Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 yang akan berlangsung hujung minggu ini di Litar Le Mans, Perancis.

Perlumbaan itu akan menjadi penampilan ketiga berturut-turut buat pelumba berusia 17 tahun itu selepas mempamerkan aksi memberangsangkan dalam dua kejohanan utama iaitu RBMRC dan Kejuaraan Dunia JuniorGP sepanjang tiga minggu lalu.

Kini, fokus tertumpu kepada Le Mans, sebuah litar ikonik yang turut menyaksikan tahun lalu Hakim Danish menamatkan Perlumbaan 1 di tempat keenam dan Perlumbaan 2 di tempat ketiga.

Hakim Danish kini berazam untuk meneruskan momentum cemerlang dan berharap mampu meraih keputusan terbaik di Perancis.

“Saya dapat buat keputusan yang terbaik di Le Mans nanti dan saya sangat bersemangat untuk berlumba di sana.

“Saya harap rakyat Malaysia dapat doakan kejayaan saya di Le Mans dan saya akan buat sehabis baik,” kata pelumba dari Terengganu itu.

Hakim Danish mencatat keputusan cemerlang apabila menamatkan kedua-dua perlumbaan Pusingan Pertama RBMRC di Litar Jerez, Sepanyol di kedudukan kedua pada 26 dan 27 April lalu membolehkannya kini mendahului carta kedudukan keseluruhan RBMRC dengan 40 mata.

Bagaimanapun, dia hanya memiliki kelebihan dua mata berbanding pelumba dari Australia, Carter Thompson yang berada di tempat kedua, manakala pemenang Pusingan Pertama JuniorGP di Estoril, Brian Uriarte pula menghuni tempat ketiga dengan 25 mata.

Selepas perlumbaan di Le Mans, Hakim Danish dijadual pulang seketika ke tanah air sebelum menyambung jadual padatnya dengan kembali ke saingan JuniorGP di Litar Jerez pada 1 Jun ini sebelum ke Aragon, Sepanyol seminggu selepas itu untuk Pusingan 3 RBMRC.

Read Entire Article
Pertanian | | | |